APMM bakal peroleh empat helikopter medium lift baharu  | DagangNews Skip to main content

APMM bakal peroleh empat helikopter medium lift baharu 

Ketika ini APMM mengendalikan enam buah helikopter termasuk AW139
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kerajaan bakal memutuskan perolehanan helikopter baharu bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan jumlah empat buah pesawat kesemuanya.

 

APMM memerlukan helikopter bersaiz sederhana (medium lift) bagi melaksanakan pelbagai misi khususnya rondaan serta operasi mencari dan menyelamat.

 

Berbanding pesawat sedia ada, helikopter saiz sederhana boleh terbang lebih lama iaitu sekitar lima jam pada satu-satu masa.

 

Sebanyak tujuh syarikat telah mengemukakan tawaran masing-masing dengan harga tawaran keseluruhan antara RM529 juta hingga RM769 juta.

 

Walaupun jenis pesawat tidak disebut tetapi dipercayai dua jenis helikopter menjadi pilihan berdasarkan kesesuaian selain rekod penggunaan.

 

APMM dikatakan cenderung untuk memperoleh sama ada helikopter jenis Airbus H175 atau Leonardo AW189.


 

APMM
Leonardo AW189 memiliki bentuk seakan-akan helikopter AW139 tetapi dengan saiz lebih besar.

 


Kedua-dua pesawat ini berada dalam kelas sama sebagai helikopter 'super medium lift' serta memiliki ciri-ciri yang diinginkan APMM.

 

Helikopter Airbus H175 seberat tujuh tan boleh membawa 18 penumpang manakala Leonardo AW189 pula lapan tan dengan jumlah penumpang sama.

 

Ketika ini APMM mengoperasikan enam buah helikopter iaitu masing-masing tiga jenis AW139 dan AS365 Dauphin selain dua pesawat amfibia Bombardier CL-415.


 

APMM
Helikopter Airbus H175 dengan kelajuan sehingga 296 kilometer sejam ini telah dioperasikan sembilan buah negara.

 


Pada Jun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan cadangan menambah tiga lagi helikopter untuk APMM pada masa akan datang.

 

Menteri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa helikopter yang ada sekarang hanya mampu terbang selama empat jam pada satu masa.

 

Menurutnya, ia bukanlah jumlah mencukupi untuk memantau perairan sebaiknya lantas penambahan aset tersebut perlu bagi meningkatkan keupayaan agensi berkenaan. - DagangNews.com