Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 terima lebih 20,000 penyertaan, cungkil kreativiti bakat muda | DagangNews Skip to main content

Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 terima lebih 20,000 penyertaan, cungkil kreativiti bakat muda

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 menerima lebih daripada 20,000 penyertaan untuk pertandingan mewarna terbesarnya bagi menyuntik kreativiti dalam kalangan bakat muda Malaysia.

 

Kembali untuk tahun kedua, pelajar berusia antara 5 hingga 8 tahun (Kategori A) dan 9 hingga 12 tahun (Kategori B) di seluruh Malaysia bertanding dalam tiga pusingan mewarna, dengan pemenang utama akan menjadi Duta Artis Muda Faber-Castell Malaysia.

 

Bertemakan 'A Greener Nature, A Better Future', ia menggalakkan para peserta mendalami kreativiti serta kelestarian melalui kertas mewarna dan bengkel maya meliputi pelbagai topik, daripada pemeliharaan hidupan liar, flora dan fauna sehinggalah pemuliharaan lautan. 

 

Para peserta telah dibekalkan dengan pengetahuan, tutorial, bahan dan alatan yang bernilai oleh pakar-pakar seni yang memberikan tunjuk ajar melalui silibus pembelajaran holistik dalam satu siri ‘masterclass’ mini. 

 

Para finalis teratas turut berpeluang menyertai lawatan lapangan ke Aquaria KLCC bagi menyemarakkan inspirasi dan kreativiti mereka.

 

Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Andrew Woon berkata, sepanjang dua tahun lalu, anugerah tersebut telah mencapai lebih 3,000 sekolah dan 700,000 pelajar. 

 

Beliau berkata, pihaknya perlu mendedahkan anak-anak kepada topik ini, menyokong minat mereka, dan memberikan ruang untuk menzahirkan kreativiti. 

 

 

FC

 

 

"Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, pelajar yang mengambil bahagian akan memperoleh markah bagi Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK) mereka. 

 

"Berbekalkan kejayaan anugerah tahun ini dengan lebih 20,000 penyertaan, pelajar dan ibu bapa boleh menantikan edisi tahun depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

FC

 

 

10 pelajar terbaik bagi kedua-dua kategori umur telah menerima hadiah lumayan, termasuk wang tunai, trofi, hamper produk dan sijil penyertaan. 

 

Selain wang tunai RM2,000, produk Faber-Castell bernilai RM500, dan diskaun produk eksklusif, serta peluang  mempamerkan hasil karya seni mereka, kedua-dua pemenang utama berpeluang memperoleh pengalaman langsung tentang produk baharu Faber-Castell.

 

Ia termasuk pembelajaran berterusan serta peningkatan kemahiran melalui bengkel dan aktiviti pendidikan dalam program Anugerah Artis Muda yang bakal datang. - DagangNews.com