Anggota MPMA mula promosi produk plastik ke pasaran baharu menerusi CPTPP | DagangNews Skip to main content

Anggota MPMA mula promosi produk plastik ke pasaran baharu menerusi CPTPP

KUALA LUMPUR 20 Jan - Anggota Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) mula mempromosikan jualan produk plastik mereka ke pasaran baharu melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Presidennya, Datuk Lim Kok Boon berkata, terdapat tiga pasaran baharu untuk sektor plastik iaitu Kanada, Mexico dan Peru, berdasarkan kajian Analisis Kos dan Faedah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai pengimport bersih untuk produk plastik.

 

“Negara-negara ini tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia sebelum ini. 

 

"Kanada merupakan destinasi eksport pertama yang dilihat oleh anggota kami berikutan duti import untuk produk plastik telah dimansuhkan sejak 1 Januari 2023 daripada maksimum sebanyak 6.5%.

 

“Pada masa ini, pasaran eksport utama untuk produk plastik buatan Malaysia ialah Kesatuan Eropah, ASEAN dan Jepun. Pelaksanaan CPTPP akan meluaskan peluang pasaran eksport untuk industri pembuatan plastik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

Kok Boon berkata, pengeluar plastik Malaysia telah mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasaran eksport dengan kualiti produk mereka yang baik dan kebolehpercayaan bekalan mereka. 

 

Berdasarkan perkara itu, Malaysia telah mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar filem regangan plastik terbesar di Asia selama bertahun-tahun.

 

“Filem regangan ialah bahan pembungkusan yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Berdasarkan ini, kami percaya bahawa produk kami akan mendapat populariti dalam pasaran CPTPP,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan jangkaan mengenai kelembapan di kebanyakan negara-negara maju pada tahun depan, pembukaan pasaran baharu akan meluaskan peluang pasaran untuk mengurangkan impak daripada permintaan yang rendah daripada negara-negara eksport tradisional.

 

Pelaksanaan CPTPP akan turut menarik pelaburan langsung asing kepada pelabur untuk mewujudkan pangkalan pembuatan mereka di negara ini berdasarkan peluang pasaran yang lebih luas untuk produk mereka, yang akan memberi prospek yang baik kepada sektor pembuatan dan seterusnya memberi manfaat kepada negara. 

 

Kok Boon berkata, kini terdapat kira-kira 1,200 syarikat pembuatan plastik di Malaysia, menggaji kira-kira 150,000 pekerja. Sebanyak 90% daripada syarikat tersebut adalah perusahaan kecil dan sederhana.

 

Industri plastik mencatatkan jumlah perolehan jualan sebanyak RM58.6 bilion pada 2021, dan 27 peratus atau RM16 bilion nilai pengeluaran telah dieksport. 

 

MPMA kini mempunyai 800 anggota, mewakili kira-kira 60% daripada pengeluar plastik di negara ini dan menyumbang 80% daripada jumlah pengeluaran produk plastik negara. - DagangNews.com