Alliance Bank perkenal strategi dipertingkatkan pacu pertumbuhan menjelang 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank perkenal strategi dipertingkatkan pacu pertumbuhan menjelang 2027

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Alliance Bank Malaysia Berhad memperkenalkan rangka strategi yang dipertingkatkan yang akan memacu pertumbuhan bank untuk tempoh empat tahun yang akan datang. 

 

Pelan ini akan menyasarkan segmen pasaran baharu dan pasaran menegak, pengembangan serantau, menjuarai usaha mampan serta memacu sinergi dan penciptaan nilai melalui inovasi digital dan perkongsian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihaknya akan memanfaatkan kejayaan yang telah dicapai oleh bank sehingga kini menerusi strategi yang memberi tumpuan kepada pemilik perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti yang mana para usahawan ini beroperasi. 

 

"Strategi tersebut menyaksikan kami sebagai bank pencabar dengan pendekatan yang mengutamakan komuniti. Ketika itu kami telah membangunkan pelbagai penyelesaian yang inovatif, relevan dan berkesan. 

 

"Ini termasuklah dalam ruang digital di mana kami menjadi peneraju pasaran dan membantu kami berkembang ke segmen pasaran yang kami pilih,” katanya yang mula menerajui bank pada 1 September 2022.

 

Bank telah membina DNA organisasi tersendiri yang ditakrifkan oleh ketangkasannya dalam memenuhi perubahan pasaran yang dinamik dan pada masa yang sama mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi kepada pelanggan. 

 

Menurut Kam, formula ini telah membuahkan hasil seperti yang dibuktikan oleh kejayaan bank menakluki bahagian pasaran PKS daripada pemain industri yang lebih besar walaupun dalam tempoh yang mencabar.

 

 

alliance
                                                   Kellee Kam

 

 

“Kami akan meneruskan minda pencabar yang sama ini pada bidang tumpuan yang diperbaharui di bawah strategi transformasi baharu kami, Acceler8, yang sejajar dengan bidang pertumbuhan tinggi lain dalam pasaran kami, untuk memacu fasa pertumbuhan bank yang seterusnya,” katanya.

 

Acceler8 akan membimbing pertumbuhan bank sehingga tahun kewangan 2027 (TK2027) dan menumpukan pada penyediaan penyelesaian yang pantas, mudah dan diperibadikan serta relevan kepada pelanggan walaupun keperluan mereka berubah dan berkembang. 

 

Menerusi strategi ini, bank berhasrat untuk mencapai kedudukan quartil teratas dalam industri untuk pulangan ekuiti, nisbah kos berbanding pendapatan di bawah 45% dan pertumbuhan pinjaman melebihi purata industri. 

 

Bank juga akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam metrik bukan kewangan seperti perkhidmatan pelanggan, kepuasan warga kerja dan kemampanan. 

 

Tambah Kam, bank akan mengembangkan fokus perbankan penggunanya untuk menyasarkan segmen pelanggan mewah yang baru muncul termasuk lebih 2.1 juta orang profesional muda di Malaysia. - DagangNews.com