Ajinomoto buka kilang mesra alam baharu di Bandar Enstek Halal Hub sempena ulang tahun ke-60 | DagangNews Skip to main content

Ajinomoto buka kilang mesra alam baharu di Bandar Enstek Halal Hub sempena ulang tahun ke-60

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Ajinomoto (M) Berhad (AMB) membuka kilang mesra alam baharu di tapak berukuran 46 ekar di Bandar Enstek Halal Hub, Negeri Sembilan sempena sambutan ulang tahunnya ke-60 di Malaysia. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoharu Abe berkata, kilang baharu AMB yang berpindah dari Jalan Kuchai Lama ke Bandar Enstek merupakan ‘kilang pintar’ dan bangunan hijau yang diperakui. 

 

Beliau berkata, teknologi canggih yang mengoptimumkan operasi melalui automasi dan pengdigitalan telah diperbadankan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. 

 

Jelasnya, kilang baharu tersebut telah direka untuk menyediakan suasana yang kondusif dan mesra kerja bagi para pekerja, dilengkapi dengan fasiliti rekreasi. 

 

"Selain itu, kilang baharu tersebut juga menggalakkan penglibatan pelanggan dan kelestarian alam sekitar, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pembukaan kilang tersebut.

 

Tambah Abe, premis kilang baharu tersebut kini merangkumi 60% dari 46 ekar dan mempunyai ruang yang cukup untuk pembangunan pada masa hadapan.

 

 

ajinomoto

 

 

Pengerusi AMB, Tan Sri Teo Chiang Liang pula berkata pembukaan kilang baharu terkini yang mesra alam dan diperakui halal walaupun menghadapi cabaran wabak COVID-19 di seluruh dunia.

 

"Melangkah ke hadapan, AMB bersama kilang baharunya akan berusaha untuk menjadi “Syarikat Makanan Halal Sedunia Bersentrik Pelanggan” yang menyumbang dalam menangani isu pemakanan dan kesihatan masyarakat melalui kepakaran dan penyelesaian inovatif kami," katanya.

 

 

ajinomoto

 

 

Dalam pada itu, kilang baharu tersebut mempunyai kelengkapan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan para pelanggan seperti lawatan kilang, kelas memasak dan bengkel berasaskan penyelesaian bagi pelanggan industri.

 

Sebagai rakyat korporat yang bertanggungjawab dan penyokong ESG, AMB dan kilang baharunya akan terus menangani isu pemanasan global dan alam sekitar. 

 

Syarikat telah berjaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan menukarkan sumber haba dari minyak bahan api ke gas asli, serta menggunakan tenaga boleh diperbaharui melalui panel solar yang dipasang. - DagangNews.com