AICB, GEFI tarik lebih 90 negara sertai acara maya Ethical Finance ASEAN edisi kedua teroka pembiayaan peralihan | DagangNews Skip to main content

AICB, GEFI tarik lebih 90 negara sertai acara maya Ethical Finance ASEAN edisi kedua teroka pembiayaan peralihan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Global Ethical Finance Initiative (GEFI) berpangkalan di United Kingdom telah menganjurkan bersama Ethical Finance ASEAN (EF ASEAN 2023) edisi kedua pada 30 Mac.

 

Menurut satu kenyataan AICB hari ini, acara tersebut telah menarik lebih 1,500 delegasi dari lebih 90 negara dari seluruh dunia, menampilkan pemimpin kewangan dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dari Asia Tenggara, rantau Asia Pasifik (APAC) yang lebih luas dan seterusnya.

 

Bertemakan ‘Pembiayaan Peralihan’, sidang kemuncak maya itu untuk meneroka peranan institusi kewangan di rantau ini bagi menyokong ekonomi Asia Tenggara dalam peralihan mereka ke arah sifar bersih.

 

Sorotan utama perbincangan meliputi taksonomi kewangan mampan ASEAN baharu; cara menggerakkan modal persendirian kewangan iklim; risiko dan peluang berkaitan pembiayaan alam semula jadi; keperluan mempertimbangkan peralihan yang adil dan potensi kewangan Islam mampan.

 

“Perbincangan juga meliputi Taksonomi Kewangan Mampan ASEAN, kepentingan dimensi sosial kepada pembiayaan, alam semula jadi dan biodiversiti, peranan kewangan Islam, dan kemahiran profesional yang diperlukan untuk menyampaikan peralihan,” katanya.

 

 

aicb

 

 

EF ASEAN 2023 dihadiri oleh barisan penceramah yang dihormati terdiri daripada pemimpin kewangan dan korporat terkemuka, ahli akademik, penganalisis dan penggubal dasar dari pelbagai institusi.

 

Ini termasuk abrdn; Beijing Institute of Finance and Sustainability,; BNP Paribas Asset Management; Chartered Banker Institute; Citi Private Bank; Finance Earth; HSBC Amanah Malaysia Bhd; Maybank Islamic Berhad; Principles for Responsible Investment (PRI); PT Sarana Multi Infrastruktur (Persero); S&P Global; Standard Chartered Malaysia; Sustainable Finance Institute Asia; Thoughts in Gear; dan World Wide Fund for Nature.

 

Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata, keperluan pelaburan bagi tindakan iklim adalah terbesar di rantau ASEAN.

 

“Adalah mustahak untuk meneruskan perbincangan kepentingan pembiayaan peralihan dan tindakan iklim di rantau ini serta bagaimana sektor perbankan dan kewangan sedang berkembang,” jelasnya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan GEFI, Omar Shaikh melihat kepentingan ASEAN dalam ekonomi dunia memandangkan  negara di rantau ini berada pada setiap peringkat pembangunan.

 

“Rantau ini secara unik terdedah kepada perubahan iklim dan merupakan salah satu kawasan panas biodiversiti dunia, justeru mendapatkan pembiayaan peralihan yang mampan untuk masa depan di ASEAN adalah bahagian penting dalam cabaran iklim global,” tambahnya. -DagangNews.com