Ahli Parlimen Langkawi lepas jawatan Pengarah Urusan Silver Ridge, digantikan anak lelakinya | DagangNews Skip to main content

Ahli Parlimen Langkawi lepas jawatan Pengarah Urusan Silver Ridge, digantikan anak lelakinya

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah

KUALA LUMPUR 5 Jan - Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah meletakkan jawatan selaku Pengarah Urusan Kumpulan Silver Ridge Holdings Berhad, berkuat kuasa 4 Januari 2023 dan akan digantikan anaknya, Syauqat Mohd. Suhaimi.

 

Syauqat juga akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif kerana kakaknya, Satila Mohd. Suhaimi telah melepaskan jawatan itu.

 

Selain itu, Azhar Taib @ Jalal meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan.

 

Suhaimi meletak jawatan untuk "mengejar kepentingan peribadi", kata Silver Ridge dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Suhaimi, 64, memegang kepentingan langsung sebanyak 28.45 juta saham biasa dalam Silver Ridge.

 

Beliau telah menyingkirkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Ahli Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas menang dengan majoriti 13,518 undi.

 

silver
Syauqat Mohd. Suhaimi

 

Beliau bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional dan merupakan ahli Dewan Negara sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.

 

Menurut laporan tahunan Silver Ridge, Suhaimi menubuhkan syarikat itu pada 1995 dan dilantik sebagai Pengarah Urusan pada Mac 2006.

 

Syauqat, 29, sebelum ini merupakan pengarah ganti syarikat itu. Kakaknya Satila, 38, telah meletak jawatan daripada jawatan CEO "untuk memberi tumpuan kepada peranan pengarah eksekutif".

 

Syauqat, Satila dan seorang lagi adik-beradik Syakur Mohd Suhaimi, 35, merupakan pengarah eksekutif Silver Ridge.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 (1QFY23), Silver Ridge mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.03 juta berbanding kerugian bersih RM425,000 pada (1QFY22). 

 

Hasil bagi suku tersebut berjumlah RM2.56 juta, meningkat 57% daripada RM1.63 juta pada 1QFY22.

 

Ia mengaitkan keuntungan dalam hasil terutamanya kepada kontrak baharu "Pembangunan Antaramuka Rangkaian" yang dilaksanakan pada 1QFY23.

 

Kerugian yang lebih besar itu adalah berpunca daripada kenaikan kos bahan mentah dalam beberapa projek sedia ada selain perbelanjaan pentadbiran daripada anak syarikat yang baru diambil alih. - DagangNews.com