Co-op Bank Pertama buka cawangan pertama Ar Rahnu di Setapak | DagangNews Skip to main content

Co-op Bank Pertama buka cawangan pertama Ar Rahnu di Setapak

Pengerusi CBP, Haji Kamari Zaman Juhari menandatangani plak perasmian outlet ar-rahnu cawangan Setapak sambil disaksikan oleh ahli-ahli lembaga pengarah CBP di Kuala Lumpur, Sabtu.

 

KUALA LUMPUR 11 April - Co-op Bank Pertama (CBP) buat julung kalinya merasmikan pembukaan cawangan berdiri sendiri atau ‘stand-alone’ Ar-Rahnu CBP dan premis perbankan CBP di Setapak, di sini.

 

Pembukaan kedua-dua premis itu menjadi penanda aras kepada komitmen CBP menyediakan perkhidmatan perbankan yang patuh syariah kepada penduduk di kawasan itu.

 

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari, berkata pembukaan cawangan Ar Rahnu CBP itu juga bersandarkan prestasi pengeluaran pembiayaan yang memberangsangkan pada 2020 bahkan meningkat hampir sekali ganda (76.7%) iaitu RM214.3 juta berbanding RM121.2 juta pada 2019.

 

“Ini membuktikan Ar Rahnu CBP mampu melaksanakan  tanggungjawab diamanahkan dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. CBP juga sentiasa memastikan perkhidmatan ini ditawarkan selaras hukum syarak perniagaan pajak gadai Islam.

 

“Selari dengan arahan pengawalselia, berkuatkuasa 1 Januari 2021, CBP menukar konsep Ar Rahnu upah simpan kepada konsep Tawarruq dan Rahn (gadaian),” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Cawangan Pertama Stand Alone Ar Rahnu CBP dan Cawangan CBP ke-28, di Setapak, di sini, semalam.

 

Kamari Zaman berkata, Ar Rahnu CBP juga terbuka kepada pelanggan bukan Islam dan secara individu, koperasi serta korporat di samping menyasarkan pembukaan satu cawangan stand alone outlet di setiap negeri.

 

coop
Pengerusi CBP, Haji Kamari Zaman Juhari menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar sekitar Setapak semasa majlis pelancaran outlet ar-rahnu cawangan Setapak, Kuala Lumpur.

 

“Sehingga kini, selain pelanggan Islam perkhidmatan Ar Rahnu CBP turut mendapat perhatian dari pelanggan India dan kami mahu meluaskan perkhidmatan ini kepada masyarakat agama lain.

 

“Cawangan Ar Rahnu unik kerana ini adalah perintis cawangan stand alone dan akan buka lima lagi cawangan sama. Selain itu, pihak kami cuba fahami cabaran sedia ada sebelum melaksanakan fasa ketiga iaitu membuka cawangan ini di seluruh negara.

 

“Ar Rahnu CBP menawarkan kadar keuntungan kompetatif dan bagi memberikan perkhidmatan terbaik pihak kami akan cuba memendekkan proses urusan penggadaian pada purata sekarang adalah 15 minit. Pun begitu, proses menentukan ketulenan emas perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak kerugian berlaku terutama kepada pihak kami,” katanya.

 

Pada majlis sama, CBP turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dari sekolah sekitar kawasan itu.

 

“Sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha program tanggunjawab sosial (CSR) CBP bagi memastikan setiap pelajar mempunyai akses terhadap pendidikan.

 

“Selain itu, 20 ketua keluarga dari golongan B40 turut menerima sumbangan dan diharapkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ditanggung sekali gus menambahkan keceriaan sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi,” katanya. - DagangNews.com