Kelemahan pengeluaran buah sawit dorong CGS-CIMB semak turun EPS United Malacca sebanyak 37% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan pengeluaran buah sawit dorong CGS-CIMB semak turun EPS United Malacca sebanyak 37%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - CGS-CIMB Research menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras United Malacca Berhad sebanyak 37% kesan daripada pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang lemah di ladang Kalimantan, Indonesia dan juga harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah.

 

Firma itu percaya bahawa kelemahan pengeluaran itu berpunca daripada hujan lebat menyebabkan ladang di Kalimantan mencatatkan kerugian sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.3 juta berbanding keuntungan RM0.9 juta pada 1QFY22.

 

"Kami bimbang dengan kemerosotan mendadak untuk ladang Kalimantan kerana kami menjangkakan ia akan memacu pengeluaran FFB kumpulan itu pada masa hadapan khususnya daripada kawasan yang lebih matang serta profil umur yang lebih baik.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan menghasilkan pendapatan yang lebih lemah pada 2QFY23 dengan sebarang keuntungan tambahan daripada pengeluaran FFB akan diimbangi harga MSM yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Julai 2022, untung bersih kumpulan itu naik sebanyak 16.6% kepada RM24.3 juta berbanding RM20.8 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan juga melonjak 45.7% kepada RM167.44 juta berbanding RM114.87 juta sebelum ini.

 

Firma itu berkata, operasi kumpulan itu di Malaysia mencatatkan kenaikan 42% bagi pendapatan sebelum cukai faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM42.9 juta pada 1QFY23 didorong purata harga jualan (ASP) yang tinggi. 

 

Katanya, purata harga MSM yang dicapai untuk 1QFY23 untuk operasi di Malaysia melonjak 48% kepada RM5,606 satu tan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.37 berbanding RM5.55 sebelum ini. - DagangNews.com