Bursa Malaysia lanjutkan tempoh sah mandat umum 20%, mandat umum pro rata 50% | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lanjutkan tempoh sah mandat umum 20%, mandat umum pro rata 50%


KUALA LUMPUR 24 Dis -  Bursa Malaysia Bhd telah memberikan lanjutan 12 bulan lagi untuk peningkatan mandat umum sebanyak 20% membabitkan terbitan sekuriti baharu melalui tawaran penempatan persendirian (20% Mandat Umum) dan mandat umum sebanyak 50% berdasarkan hak pro-rata untuk terbitan sekuriti baharu melalui terbitan hak (Pro Rata 50% Mandat Umum).

 

Kedua-dua mandat yang dipertingkatkan ini akan tamat menjelang 31 Dis 2021, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pelanjutan itu adalah sejajar dengan komitmen Bursa Malaysia untuk membantu penerbit tersenarai menangani keperluan pembiayaan serta keperluan modal kerja mereka dengan memudahkan pematuhan dan pengumpulan dana sekunder. 

 

Mandat Umum 20% yang diumumkan sebelum ini pada 16 April 2020 akan dilanjutkan bagi penerbit tersenarai yang tidak mengumpul sebarang dana menggunakan Mandat 20% semasa 2020 atau 2021.

 

Penerbit tersenarai tersebut akan mempunyai sehingga 31 Dis 2022 untuk menerbitkan sekuriti baharu di bawah Mandat Umum 20% tertakluk kepada syaratsyarat yang ditetapkan yang sama.

 

Contohnya, mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi Mandat Umum 20% di mesyuarat agung, mematuhi semua keperluan undang-undang yang berkenaan termasuk perlembagaan di samping mendedahkan pandangan daripada lembaga pengarah bahawa Mandat Umum 20% adalah untuk kepentingan terbaik daripada penerbit dan pemegang saham mereka serta asas membabitkan pandangan tersebut.

 

Tempoh sah Mandat Umum Pro Rata 50% yang diumumkan pada 10 Nov 2020 juga akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2022. 

 

Penerbit tersenarai yang layak boleh mengeluarkan sekuriti hak secara pro rata menggunakan mandat ini, tertakluk kepada pematuhan dengan syarat yang sama seperti yang dikenakan sebelumnya.

 

Di samping itu, Mandat Umum Pro Rata 50% kini boleh digunakan untuk menerbitkan gabungan saham/unit biasa dan sekuriti ekuiti boleh tukar (bukan hanya
saham/unit biasa sebelum ini) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan terbitan hak. - DagangNews.com