Kemelut politik Sabah : Yang lama atau baru bah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
BUAH PIKIOR - 27 August 2020

Kemelut politik Sabah : Yang lama atau baru bah?

 

Menulis mengenai politik di Sabah adalah merupakan satu perkara yang sangat-sangat baru bagi saya. Agak sukar bagi orang yang bukan asal dari Sabah untuk menghurai dan menganalisis keadaan politik di Sabah secara lebih mendalam melainkan penulisan saya pada kali ini lebih tertumpu kepada analisis yang bersifat deskriptif atau pun lebih dekat dengan konsep penceritaan secara santai, ringkas dan tidak terlalu kompleks.

Jika mahu diperhatikan berdasarkan kepada analogi politik, Sabah adalah satu-satunya negeri yang masih diperintah oleh Parti Warisan yang menyokong Pakatan Harapan walaupun negeri-negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Harapan sebelum sudahpun tumbang dan melalui proses pertukaran kerajaan. Kemelut politik yang berlaku di Sabah ini juga sudahpun bermula sejak 9 Mei 2018 lagi dan ia tidak pernah berhenti sehinggalah ia mencapai kemuncak apabila pengumuman pembubaran DUN dibuat oleh Shafie Apdal pada tarikh 30 Julai 2020.
 

wasi3


Selepas pengumuman keputusan mahkamah kes SRC International di Kuala Lumpur pada tarikh 2 Julai, perhatian politik di Malaysia dengan segera beralih ke negeri Sabah, di mana Gabenornya, Tun Juhar Mahiruddin telah menyetujui permintaan Ketua Menteri Shafie Apdal untuk segera dibubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya memberikan laluan kepada proses pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Jika mahu dilihat dari perspektif sejarah, politik di negeri Sabah ini tidak dapat lari daripada pelbagai isu “lompat parti” yang sudahpun berlaku sejak dari tahun 1970 an lagi yang kemudianya menyebabkan kerajaan negeri Sabah sentiasa beralih pucuk pimpinannya.

Kedinamikan politik di Sabah yang sentiasa berterusan sejak dari zaman parti politik yang pernah menjadi teraju kerajaan negeri seperti USNO, Berjaya, UMNO, PBS dan Warisan adalah merupakan satu keadaan yang unik untuk diperhatikan dan atas faktor kedinamikan inilah menyebabkan pengaruh perubahan yang cuba dibawa oleh kerajaan Perikatan Nasional gagal dan “tersekat” di Sabah.

Selain itu juga, aura positif yang telah diperoleh oleh Musa Aman apabila beliau telah dilepaskan daripada empat puluh enam pertuduhan rasuah di mahkamah tidak dapat membantu menaikkan semangat beliau untuk sama-sama bergerak ke arah pelan peralihan kuasa yang dirancang yang akhirnya memberikan kesan kepada pentadbiran negeri hinggalah membawa ke proses pembubaran sidang DUN di Sabah.


Kredibiliti Musa juga mungkin tercalar apabila pelantikan Bung Mokhtar Radin selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah telahpun diisytiharkan oleh Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.

 

aaa
BUNG MOKHTAR RADIN


Tidak cukup dengan itu, UMNO Sabah juga telah diperturunkan kuasa autonomi bagi menentukan pemilihan calon PRN yang layak selain daripada menjalankan pilihanraya mengikut acuan Sabah sendiri yang secara tidak langsung akan memperkuatkan kedudukan Bung Mokhtar Radin sebagai jeneral perang di negeri ini dalam berhadapan dengan pilihan raya negeri.      

Apa yang berlaku di peringkat persekutuan juga sedikit sebanyak boleh mempengaruhi suasana dan memberikan kesan kepada politik Sabah sama ada ianya boleh berlaku di pihak kerajaan ataupun di peringkat pembangkang.

Ketua Menteri Sabah sebelum ini iaitu Datuk Shafie Apdal adalah merupakan antara salah seorang calon Perdana Menteri yang telah pun disokong pencalonannya oleh bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di fraksi Bebas.

Keadaan ini sudah tentu akan menggelisahkan kem Pakatan Harapan yang masih lagi meletakkan kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum yang akan datang. 


Di pihak kerajaan pula, perkembangan terkini mengenai kemasukan Parti Peribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu ke dalam Muafakat Nasional juga dilihat boleh merencatkan perancangan yang dibuat oleh UMNO Sabah ketika ini.

Hingga ke hari ini, pihak UMNO Sabah masih lagi belum mempunyai kata putus untuk meletakkan calonnya dalam pilihan raya negeri kerana masih lagi belum berlaku apa-apa perbincangan yang melibatkan penyertaan Bersatu dalam gabungan Muafakat Nasional di Sabah.

Tidak cukup dengan itu juga, kredibiliti Bung Mokhtar pula telah sedikit tercalar apabila isyarat yang salah sudah dihantar kepada beliau oleh Datuk Abdul Rahman Dahalan yang menyifatkan pelantikan Bung sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah tidak tepat kerana baggage (pertuduhan kes rasuah dim mahkamah) yang sedang dibawa beliau dikhuatiri akan mengganggu dan merencatkan rentak kemenangan UMNO dan BN di Sabah.   


Biar apapun yang berlaku, sidang DUN Sabah sudah pun terbubar. Suruhanjaya Pilihan Raya sudahpun menetapkan bahawa tarikh untuk pilihan raya negeri adalah pada 26 September 2020 manakala penamaan calon telah diputuskan akan berlangsung pada tarikh 12 September 2020.
 

aaa


Keadaan ekonomi Sabah yang kini berada di tahap kritikal iaitu mencatatkan kejatuhan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus sejak 26 bulan yang lalu bukanlah merupakan satu indikator yang menggembirakan buat rakyat Sabah.

Kadar pertumbuhan ekonomi Sabah yang pernah mencecah kepada angka sebanyak 8.2 peratus pada tahun 2017 adalah merupakan kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia yang pernah dicapai tetapi malangnya kini sudah tidak mampu lagi dikekalkan fan ini adalah sesuatu yang menyedihkan.

Sudah tiba masanya untuk rakyat di negeri Sabah membuat keputusan politik yang akan dizahirkan di atas kertas undi pada pilihan raya negeri nanti. Adakah rakyat Sabah akan memberikan peluang untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada ataupun rakyat dan pengundi di Sabah boleh memberikan peluang kepada pihak lain untuk mencuba jadi kerajaan negeri yang baru? Tepuk dada tanya selera. Undi anda, masa depan anda.

 

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

 

Portfolio Tags