Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 3 November 2021

Bajet 2022: Cukupkah Duit Kerajaan?

 

 

Bajet 2022 masih hangat dibincangkan. Dari sebesar-besar isu hingga sekecil-kecilnya masih hangat dibincangkan oleh rakyat terutamanya. Dari isu i-sinar KWSP RM10,000 hinggalah ke isu kemiskinan haid wanita masih menjadi kehangatan perbincangan hampir di kebanyakan media sosial.

 

Namun dari sudut pandang berbeza, pembentangan Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu yang berjumlah RM332.1 bilion menjadi bajet terbesar dalam sejarah Malaysia.

 

Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera

Bajet yang berjumlah RM332.1 bilion ini bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera mendokong 3 paksi iaitu:

 

Pertama: Rakyat Yang Sejahtera

Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan

Ketiga: Ekonomi Yang Makmur dan Mampan

 

Daripada jumlah yang besar dalam sejarah negara ini, kerajaan menyasarkan peruntukan kepada:

  1. Perbelanjaan Mengurus: RM233.5 bilion
  2. Perbelanjaan Pembangunan: RM75.6 bilion
  3. Kumpulan Wang COVID-19: RM23 bilion
  4. Simpanan Luar Jangka: RM2 bilion

 

Cukupkah Wang Kerajaan Untuk Bajet Sebesar Ini?

Dalam mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli “Keluarga Malaysia” dengan Bajet yang besar ini, kerajaan menyasarkan peningkatan hasil kerajaan sekitar RM 234 bilion ringgit sahaja pada tahun 2022.

 

Maka, defisit Bajet 2022 sebanyak RM98.1 bilion.

 

 

volatiliti
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

 

Konsolidasi Fiskal dan Kemampanan Hasil

Beban dan tanggungjawab kerajaan pastinya dalam memastikan negara  untuk mengutip hasil yang lebih baik tahun 2022.

 

Cabaran buat negara dalam memastikan keberkesanan kutipan hasil ini kerana ekonomi masih dalam proses pemulihan dan kutipan hasil kerajaan masih belum dapat dikutip dengan baik. Ianya pasti terjejas.

 

Keadaan ruang fiskal yang “sempit” ini pasti mendorong kerajaan untuk tidak boleh bergantung kepada hasil cukai semata-mata tetapi beralih kepada hasil sumber bukan cukai di samping meningkatkan statutori bagi memastikan pakej bantuan dan rangsangan serta projek pembangunan dapat diteruskan.

 

Dalam keadaan semasa, kerajaan perlu melakukan reformasi dan pengukuhan fiskal segera bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang dalam proses pemulihan ini.

 

volatiliti

 

 

Segerakan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA)

Secara asasnya terdapat empat jenis peraturan fiskal utama kerajaan iaitu baki belanjawan, hutang, perbelanjaan dan hasil untuk Kerajaan Persekutuan atau negara.

 

Bagi memastikan kemampanan fiskal negara bagi keempat-empat komponen ini, kerajaan perlu untuk segerakan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi menyokong kestabilan ekonomi negara.

 

FRA ini akan menjadi dokumen perundangan yang merangkumi standard, peraturan dan prosedur berkaitan pengurusan fiskal dan belanjawan bertujuan mengukuhkan kewangan awam bagi memastikan kemampanan fiskal jangka masa sederhana dan panjang.

 

Selain itu, FRA boleh menjadi komponen sembang dan imbang penting termasuk penerbitan laporan secara berkala mengenai prestasi dasar fiskal negara dan penyata kewangan diaudit bagi memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan maklumat.

 

Kebanyakan negara maju dan membangun telah mengguna pakai FRA bagi mengukuhkan institusi fiskal serta menggalakkan pengurusannya secara lebih bertanggungjawab dan telus termasuk negara seperti Chile, Ireland, New Zealand dan Thailand.

 

Pengurusan Risiko Fiskal Negara

Walaupun kelak, jika kerajaan telah melaksanakan FRA ini, kerajaan perlu juga untuk menambah baik pengurusan risiko fiskal negara.

 

Pengurusan risiko secara menyeluruh juga membabitkan proses utama yang meliputi pengenalpastian risiko, penilaian dan mitigasi risiko serta pelaksanaan dan semakan semula dasar.

 

Ini kerana dalam negara masih dalam proses pemulihan ekonomi semasa, perdagangan global mempunyai pengaruh dan hubung kait yang boleh menyebabkan ekonomi Malaysia terdedah dengan risiko luaran dan dalaman dan seterusnya mempengaruhi fiskal dan kedudukan hutang negara.

 

Jika kerajaan mengenal pasti dan menguruskan risiko fiskal secara komprehensif pastinya kemampanan kedudukan fiskal dan boleh mengurangkan risiko pendedahan hutang dan liabiliti negara dapat dilakukan.

 

volatiliti
KLCI menjunam lebih 30 mata pada 1 November, hari pertama selepas Bajet diumumkan. Perhatian pasaran tertumpu kepada Cukai Makmur.

 

Adakah Cukai Makmur Jalan Terbaik Kutip Hasil?

Kemampanan fiskal negara yang baik perlu didokong dengan kutipan hasil kerajaan yang stabil. Bagi mengukuhkan kedudukan hasil kerajaan, kerajaan akan memperkenalkan Cukai Makmur.

 

Apa itu Cukai Makmur?

Cukai Makmur ialah cukai khas secara one-off kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi. Syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

Pelaksanaan Cukai Makmur dilihat lebih bersifat lebih adil, dan meliputi semua syarikat yang pendapatan bercukai, sehingga RM100 juta pertama.

 

Dengan pelaksanaan Cukai Makmur ini, kerajaan dijangka meraih hasil sekitar RM3 bilion dan hasil itu boleh digunakan demi kemakmuran rakyat.

 

Mengulas mengenai Cukai Makmur ini, Ketua Pasaran Cukai Malaysia, Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd (EY), Farah Rosley menyatakan Cukai Makmur adalah sejajar dengan trend antarabangsa terkini seperti langkah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk mengenakan cukai lebih tinggi ke atas syarikat yang besar dan lebih menguntungkan.

 

Adakah Cukai Makmur Ganggu Iklim Pelaburan Negara?

Walaupun dijangka dengan pelaksanaan Cukai Makmur akan membantu mengukuhkan hasil dan kedudukan fiskal negara namun adakah ianya satu “signal” buruk kepada iklim pelaburan negara?

 

Pada awal minggu ini, tindak balas pasaran ekuiti dapat dilihat apabila Bursa Malaysia ditutup rendah  dengan tekanan jualan di seluruh papan apabila para pelabur memberikan reaksi negatif kepada cadangan selepas Cukai Makmur yang dibentangkan semasa Bajet 2022.

 

Selepas Bajet 2022, apabila pasaran ekuiti dibuka minggu ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 31.39 mata atau 2.01 peratus kepada 1,530.92 daripada paras penutup 1,562.31 pada sebelumnya.

 

Sementara itu,  kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 996 berbanding 178, manakala 327 kaunter tidak berubah.

 

Di peringkat serantau, pasaran ekuiti bercampur-campur berikutan sentimen yang bercampur-campur dengan ekuiti Jepun ditutup tinggi apabila para pelabur memberi reaksi positif kepada keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan kepada Perdana Menteri Fumio Kishida.

 

Ironinya, dengan pelaksanaan cukai makmur ini mendapat penerimaan yang kurang baik dan menjejaskan sentimen pasaran.

 

Namun begitu, ia dilihat sebagai sentimen sementara sahaja dan tidak akan menjejaskan iklim pelaburan negara dalam tempoh masa jangka masa panjang.

volatiliti

Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara

Keupayaan kerajaan juga didokong oleh had hutang berkanun iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) yang telah dinaikkan kepada 65% dan ini bermakna keupayaan peminjaman kerajaan adalah sekitar RM140 bilion hingga RM150 bilion untuk 2022.

 

Dengan desifit fisikal RM98.1 bilion, dasar fiskal mengembang akan dikekalkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, dengan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan bagi membolehkan kesemua peruntukan Bajet 2022 yang terbesar ini mampu diagihkan dengan baik. - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags