Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 6 June 2022

Wasiyyah

BAHAYA ORANG TOKSIK YANG MAMPU MEMUSNAHKAH ORGANISASI

 

 

 

DI dalam berorganisasi suka atau tidak kita perlu bekerja dengan pelbagai jenis manusia. Ahli pasukan kita mempunyai pelbagai karekter.

 

Sebahagian dari mereka ‘ngam’ dengan karekter kita tetapi ramai juga yang langsung tak kena dengan cara kita. Manusia memang ada pelbagai perangai dan hakikat ini perlu kita akui.

 

Di dalam organisasi, walau apa pun karekter kita, semua ahli pasukan perlu bekerjasama untuk mencapai objektif yang sama. Objektif ini ditetapkan oleh pembuat polisi organisasi.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, objektif ini ditetapkan oleh Lembaga Pengarah iaitu badan tertinggi di dalam organisasi kami. Lembaga Pengarah bertanggungjawab meluluskan semua polisi-polisi Syarikat yang selari dengan undang-undang dan amalan terbaik (best practices) industri yang dipercayai dapat menjaga kepentingan semua pemegang taruh.  

 

Lembaga Pengarah juga menetapkan hala tuju Syarikat dengan meluluskan pelan perniagaan tahunan yang dikemukakan oleh pengurusan Syarikat.

 

Pengurusan Syarikat pula bertanggungjawab memastikan pelan perniagaan itu dicapai oleh pasukannya berdasarkan strategi yang telah dirancang. Salah satu kunci utama kepada kejayaan mencapai pelan perniagaan ini pastinya kerjasama berpasukan yang mantap.

 

Sebagai peneraju syarikat dan berpengalaman 23 tahun dalam indusri perancangan harta secara Syariah, saya sentiasa tahu bahawa akan terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui sebelum mencapai pelan perniagaan ini.

 

Antara cabaran yang memang setiap tahun kami lalui ialah kewujudan pesaing baharu, perubahan undang-undang, perubahan kuasa beli pelanggan disebabkan faktor ekonomi dan pelbagai cabaran lain. Namun ini semua adalah cabaran luaran yang pada saya amat mudah untuk diatasi.

 

 

toxic

 

 

Cabaran paling besar pada saya dan saya percaya ia juga cabaran besar untuk mana-mana pemimpin organisasi ialah faktor kewujudan orang toksik di dalam organisasi yang memecah-belahkan perpaduan dan semangat kerja berpasukan di dalam industri.

 

Orang toksik ini sangat berbahaya dan jika tidak diurus dengan baik orang toksik mampu memusnahkan organisasi secara berstruktur sama ada di dalam waktu pendek atau waktu panjang.

 

Orang toksik akan sentiasa berpolitik mencari pengaruh di dalam organisasi. Mereka akan mewujudkan ‘Circle’ mereka sendiri dalam kalangan ahli organisasi.

 

‘Circle’ ini  akan dipengaruhi supaya menyanjung orang toksik sebagai orang yang paling baik dan paling cekap dalam organisasi.

 

Oleh itu ‘Circle’ ini secara tidak sedar, akan menyokong semua idea dan usaha yang dibuat oleh orang toksik walaupun idea dan usaha itu mengancam organisasi dan bertentangan dengan polisi dan hala tuju yang telah dibuat pembuat polisi.  

 

Akibat tindakan ini, perpaduan dalam kalangan ahli organisasi akan terjejas. Akan wujud kem A dan kem B yang selalu bertentangan pandangan sekaligus menyebabkan konflik dalaman berlaku.

 

‘Circle’ ini akan menjadi penyokong kuat orang toksik dan menyerang secara vokal semua orang lain di dalam organisasi semata-mata untuk mempertahankan usaha dan idea orang toksik.

Wasiyyah

 

 

Ahli organisasi lain yang tidak mahu berdebat atau berkonfrontasi dengan ‘Circle’ orang toksik akan mengalah walaupun mereka tahu idea dan usaha itu tidak bermanfaat atau menjejaskan kepentingan organisasi.

 

Apabila mereka mengalah pula, mereka akan terus-terusan ditekan dan ditindas pula oleh orang toksik dan ‘Circle’nya.

 

Akhirnya apabila suasana sudah menjadi tidak terkawal, ahli organisasi yang tidak dapat bertahan, akan meninggalkan organisasi.

 

Inilah sebenarnya strategi orang toksik. Mereka tahu bahawa ahli organisasi yang jujur, ikhlas dan cekap perlu disingkirkan terlebih dahulu sebelum orang toksik boleh mencapai agenda peribadinya.

 

Jika tidak, ahli organisasi ini akan menjadi penghalang dan pelapor kepada semua salah laku orang toksik. 

 

Maka rugilah organisasi kerana kehilangan bakat-bakat berpotensi yang mungkin telah digilap bertahun-tahun lamanya.

 

Memang organisasi sentiasa boleh melatih orang yang baru tetapi ia akan memakan masa dan belanja yang banyak.

 

 

Wasiyyah

 

 

Objektif organisasi akan terjejas apabila terlalu banyak kehilangan bakat-bakat ini.

 

Orang toksik tidak peduli dengan situasi ini kerana apa yang penting ialah agenda peribadinya dan bukan kepentingan organisasi.

 

Tindakan orang toksik ini adalah sangat merbahaya kepada organisasi kerana objektif organisasi yang berpaksikan kepentingan khalayak yang ditetapkan oleh pembuat polisi pasti bercanggah dengan agenda peribadi orang toksik yang lebih kepada menjaga kepentingan peribadi sahaja. 

 

Orang toksik akan cuba sedaya-upaya menunjukkan kepada orang atasan bahawa merekalah yang  paling bagus dan telah menyumbang secara signifikan kepada organisasi.

 

Dalam usaha menunjukkan ‘kebagusan’ itu , mereka akan memanipulasi dan menekan semua orang di sekeliling mereka supaya bekerja mengikut kepentingan peribadinya. Suasana bekerja akan menjadi sangat toksik dan tidak harmoni.

 

Bagaimana mahu mengenal pasti orang toksik ini?

Ini soalan yang sebenarnya sangat susah dijawab. Selain daripada pandai memanipulasi orang dan berpolitik, orang toksik juga sangat pandai berlakon.

 

Dia akan berlakon baik di depan orang atasan dan menunjukkan perkara yang baik-baik sahaja serta menyorokkan segala masalah.

 

 

Wasiyyah

 

 

Mereka tahu bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang masalah yang timbul ialah kerana itu ialah tanda ketidakupayaan mereka menjalankan tanggungjawab.

 

Oleh itu mereka berlakon sehabis baik menyembunyikan kelemahan dan keburukan mereka.

 

Orang toksik akan cuba mengambil semua kredit dari apa-apa kejayaan yang dicapai organisasi.

 

Orang toksik akan selalu menyebut-nyebut betapa tanpa mereka kejayaan itu tidak mungkin akan dicapai organisasi. Pendek kata organisasi itu tidak akan ke mana tanpa mereka.

 

Adakah saya jumpa dengan orang toksik dalam pengalaman saya menguruskan organisasi selama 18 tahun ini? Pastinya ada namun Alhamdulillah Allah sentiasa melindungi Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Doa rutin saya setiap hari semenjak 18 tahun lepas ialah, “Ya Allah, lindungilah Wasiyyah Shoppe Berhad dan berkatilah perjuangan kami.” Alhamdulillah saya bersyukur kerana doa saya sentiasa dimakbulkan. 

 

Allah memberikan petanda jelas kepada saya apabila orang toksik wujud di dalam organisasi saya dan saya serta pasukan pengurusan saya dikurniakan ilham bagaimana untuk bertindak mengatasi cabaran orang toksik.

 

 

Wasiyyah

 

 

Nak tahu bagaimana saya mengatasi cabaran orang toksik? Panjang ceritanya.

 

Insya-Allah dalam penulisan akan datang jika saya ingat saya akan cerita. Di dalam satu artikel sahaja seperti ini memang tak cukup ruang. Cabaran orang toksik ini berjaya diatasi walaupun tidak mudah.

 

Saya bersyukur kerana setiap kali kami diuji, perpaduan kami akan menjadi lebih mantap lagi selepas itu dan kami akan naik ke satu tahap yang lain.

 

Maka benarlah bahawa salah satu hikmah ujian ialah untuk meningkatkan darjat kita.

 

Sama seperti rumahtangga, apabila ia berjaya melalui satu cabaran, hubungan ahli keluarga akan menjadi lebih rapat.

 

Begitulah juga di Wasiyyah Shoppe Berhad. Kita semua manusia lemah yang sentiasa terdedah kepada melakukan pelbagai kesilapan.

 

Jangan lupa untuk sentiasa bergantung kepada Allah kerana tiada kuasa lain yang mengatasi kuasanya.      

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

Wasiyyah

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags