Austral Techsmith mulakan pemasangan tiang pintar 5G, Elab 01 | DagangNews Skip to main content

Austral Techsmith mulakan pemasangan tiang pintar 5G, Elab 01

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Syarikat perintis teknologi tiang pintar 5G di Malaysia, Austral Techsmith Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasasama dengan syarikat pembekal infrastruktur telekomunikasi untuk melaksanakan pemasangan tiang pintar, Elab 01 'semua-dalam-satu' di seluruh negara.

 

Austral Techsmith dalam satu kenyataan berkata, Elab 01 merupakan tiang setinggi 18 meter yang dilengkapi inovasi penyatuan peralatan dan kelengkapan rangkaian telekomunikasi yang turut berfungsi sebagai lampu jalan pintar.

 

Katanya, tiang pintar itu boleh dipasang dengan kapasiti hubungan pelbagai rangkaian 4G, 5G, penghala (router) wifi dan unit bekalan kuasa.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azfar Zubri berkata, penggunaan teknologi pintar adalah langkah ke hadapan untuk Malaysia dalam laluannya untuk mewujudkan lebih banyak bandar pintar dan seterusnya penggunaan inovasi baharu itu. 

 

"Sebagai usahawan teknologi Malaysia, saya berbangga dengan R&D tempatan, jurutera dan juruteknik tempatan dengan harta intelek inovasi tempatan dalam PKS setahun jagung yang diilhamkan dari Sarawak, dapat memainkan peranan kecil tapi bermakna untuk kejayaan rangkaian infrastruktur 5G negara.

 

"Pencapaian ini meyakinkan saya dan pasukan untuk terus menginovasikan harta intelek dengan lebih baik dan bersaing juga di pasaran antarabangsa," katanya.

 

tiang

 

Pemasangan tiang-tiang Elab 01 itu sudah bermula pada 15 Mac 2022 dan selesai semalam dengan 31 tiang pintar berjaya didirikan di Jalan Semarak Api dan Jalan Serene Kiara, Kuala Lumpur serta Greentown, Ipoh. 

 

Tiang pelbagai fungsi itu akan menggantikan tiang lampu sedia ada dan membantu majlis perbandaran tempatan menambah baik perkhidmatan kepada masyarakat setempat. 

 

techsmith
Azfar Zubri

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Austral Techsmith, Soh Chong Meng pula berkata, tiang Elab 01 merupakan mercu tanda keupayaan tempatan untuk inovasi bidang teknologi tinggi seperti 5G. 

 

"Tiang ini merupakan yang pertama yang dihasilkan kami dan selepas ini lebih banyak inovasi yang akan dihasilkan Austral Techsmith," katanya. - DagangNews.com