Artikel saya yang ke-100 di DagangNews.com | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 25 July 2022

Wasiyyah

ARTIKEL SAYA YANG KE-100 DI DAGANGNEWS.COM

 

 

 

 

ARTIKEL minggu ini agak sentimental kepada saya. Kenapa ? Kerana ia adalah artikel saya yang ke-100 untuk portal Dagang News.

 

Sebenarnya semasa saya bersetuju dengan cadangan saudara Johardy Ibrahim (Editor) untuk menulis di portal ini, saya tidak pernah pun terfikir saya mampu menulis sehingga 100 artikel.

 

Dengan tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar serta masa yang semakin terhad, saya hanya terfikir bahawa saya akan menulis setakat yang saya termampu sahaja.

 

Namun tanpa disedari saya telah terus menulis sehingga artikel yang ke 100 ini. Terlalu banyak isu dan buah fikiran yang ingin saya kongsikan berkaitan perancangan harta.

 

Wasiyyah
Artikel pertama ANEKDOT MAWARITH tulisan Tn Hj Ariffin Sabirin bertarikh 3 Ogos 2020. Teks penuh DI SINI

 

Walaupun saya bukanlah orang yang selayaknya untuk bercerita tentang isu ini namun sedikit sebanyak saya rasa perkongsian ilmu dan pengalaman yang telah saya nukilkan di dalam siri Anekdot Mawarith ini dapat membantu masyarakat di dalam memahami isu-isu berkaitan harta pusaka dan perancangan harta secara Syariah.

 

Saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan Syariah jauh sekali perundangan. Saya belajar pentadbiran perniagaan di UKM dan pengalaman kerja saya baik sama ada secara sementara sewaktu masih seorang mahasiswa dan sebaik sahaja tamat pengajian ialah di bidang perbankan.

 

Saya pernah bekerja di Maybank dan Hongkong Bank sebagai kerani sementara. Saya memulakan kerjaya saya di Citibank sebaik tamat pengajian pada tahun 1994.

 

Pada awal tahun 1996, saya bekerja pula di bidang pelaburan di RHB Unit Trust Management Berhad. Jadi, pengalaman saya memang banyak di dalam bidang kewangan sahaja.

 

Ketika itu, saya rasa memang saya telah ditakdirkan untuk membina kerjaya di dalam bidang ini.      

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin menyampaikan ceramah mengenai pengurusan harta. Gambar koleksi Nur Fadhlina Mohd Ariffin 22 Mei 2014.

 

Bukan dari bidang Syariah

Kerana itu saya kerap ditanya bagaimana pula saya boleh terlibat di dalam bidang perancangan harta secara Syariah memandangkan saya tiada latar belakang pendidikan yang berkaitan?

 

Bila disuakan soalan seperti ini saya hanya tersenyum dan secara automatik yang akan terlintas di fikiran saya ialah satu kejadian pada tahun 1998.

 

Ketika itu saya masih di RHB Unit Trust dan pada hari itu, dalam perjalanan balik ke rumah, saya singgah untuk solat maghrib di satu masjid. Pada hari yang ditakdirkan itu, ada satu kuliah maghrib bertajuk ‘Faraid’ disampaikan oleh seorang profesor dari UKM.

 

Saya mendengar dengan penuh minat kerana penyampaian tentang ilmu faraid dalam kaedah itu ialah yang pertama saya dengar seumur hidup saya.

 

Profesor ini bercakap tentang hukum faraid bagi pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja (tanpa anak lelaki) dan pencerahannya menarik minat saya kerana ketika itu saya hanya ada seorang anak perempuan sahaja.

 

Sebaik habis ceramah itu, saya telah mendapatkan nombor telefon profesor itu dan bermulalah perjalanan saya di dalam bidang ini.

 

Mentor

Beliau ialah Allahyarham Profesor Madya Ridzuan Awang dari Fakulti Pengajian Islam UKM.

 

Semenjak pertemuan pertama itu, saya kerap berjumpa dengan Allahyarham untuk belajar (secara tidak rasmi) pelbagai selok-belok urusan pengurusan harta orang Islam.

 

Profesor Madya Ridzuan Awang
 Allahyarham Profesor Madya Ridzuan Awang

 

Ke mana sahaja beliau berceramah atau berseminar, saya akan hadir untuk belajar. Saya membeli dan membaca buku dan penulisan beliau. Subjek perancangan harta telah menjadi obsesi saya selepas itu.

 

Saya nekad berhenti dari bidang kewangan pada tahun yang sama dan untuk menimba pengalaman, saya mula menceburi bidang perancangan harta ini sepenuh masa bersama sebuah firma guaman.

 

Walaupun saya tahu risiko bidang ini sangat besar kerana umat Islam ketika itu tidak faham kepentingan merancang harta, namun saya sangat percaya potensinya sangat besar.

 

Saya sangat suka bercakap tentang topik ini kepada masyarakat kerana saya dapat melihat banyak masalah harta pusaka yang berlaku kerana kejahilan kita di dalam ilmu ini.

 

Selepas beberapa tahun di dalam bidang ini, pada 2004 saya memberanikan diri menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad. Ini adalah berkat dorongan Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang yang selalu mencadangkan agar saya menubuhkan satu syarikat perancangan harta.

 

Masih terngiang di telinga saya, Allahyarham selalu menyebut, “Ana boleh bantu dari segi ilmu tetapi anta kena berusaha cari jalan menyampaikan ilmu ini dengan berkesan kepada masyarakat. Buatlah satu wadah supaya kita dapat membantu masyarakat.”

 

Bangunkan pelbagai model

Semenjak langkah permulaan itu, dengan bantuan Lembaga pengarah dan Panel Syariah yang berpengalaman, Wasiyyah Shoppe Berhad telah membangunkan pelbagai model perkhidmatan perancangan harta secara Syariah dan hari ini telah membantu lebih 75,000 orang Islam merancang harta mereka.

 

Model-model perkhidmatan ini pula bukanlah dibangunkan hanya sekadar dari pandangan dan ilmu Panel Syariah sahaja malah ia turut melibatkan penyelidikan ilmiah yang dibuat bersama universiti.

 

Wasiyyah

 

Walaupun saya tiada latar belakang Syariah mahupun guaman, namun kerana saya duduk di dalam semua mesyuarat berkaitan pembangunan perkhidmatan dari 2004 sehingga hari ini, saya mendapat pendedahan yang sangat luas dari Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad tentang segala hujah Syariah dan perundangan yang timbul dari perkara-perkara berkaitan.

 

Saya juga bertuah kerana sepanjang mengemudi Wasiyyah Shoppe Berhad saya dikurniakan rezeki oleh Allah SWT dapat bertemu dengan ramai pakar di dalam fiqh mawarith, undang-undang Syariah dan undang-undang Sivil.

 

Perbincangan kami selalu mengambil perspektif mikro dan makro dalam isu-isu perancangan harta orang Islam dan ini telah membuka ruang untuk kami menjana idea-idea baru yang inovatif tetapi masih di dalam ruang lingkup hukum syarak.

 

Oleh kerana Wasiyyah Shoppe sendiri terlibat di dalam pelaksanaan model-model perkhidmatan ini ketika pelanggan masih hidup dan selepas pelanggan meninggal dunia, kami juga telah mendapat pengalaman yang banyak dalam proses perundangan yang melibatkan model perkhidmatan tersebut.

 

Atas kelebihan ini, kami mampu bercakap bukan sahaja tentang teori malah tentang praktikal bidang ini.

 

Berkongsi ilmu

Kelebihan inilah yang mendorong saya untuk terus berkongsi ilmu dan pengalaman melalui ruangan Anekdot Mawarith portal Dagang News ini.

 

Saya berpendirian bahawa sumbangan saya di ruangan ini adalah salah satu dari perkara yang tak putus dari anak adam selepas kematiannya iaitu ilmu yang bermanfaat seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

 

Selagi hayat dikandung badan dan kudrat mengizinkan, in shaa Allah saya akan terus menulis di sini.

 

Semoga Allah SWT menerima sumbangan kecil saya ini sebagai sebahagian dari amal kebaikan saya di dunia ini dan menjadi pemberat di neraca timbangan saya di akhirat kelak. Aameen.          

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI 99 ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH TERDAHULU

Portfolio Tags