KUALA LUMPUR 9 Ogos - Hengyuan Refining Company Bhd melantik Zulhazmi Mohamad sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 8 Ogos 2023, menggantikan Li Bin yang berundur pada hari sama atas sebab kesihatan.
Li, warga Singapura, baru dilantik pada 3 Julai tahun ini untuk menggantikan Grant Gao Jin Liang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hengyuan berkata, Zulhazmi menyertai kumpulan itu pada 1994, dan telah memegang pelbagai jawatan dalam projek dan pemulihan, kejuruteraan, dan penyelenggaraan sejak 25 tahun lepas, termasuk peranan pemulihan serantau.
"Beliau juga terlibat dalam reka bentuk terperinci, pembinaan, pentauliahan dan permulaan projek Unit Penukar Pemangkin Sisa Panjang yang canggih serta kompleks HIJAU untuk Hengyuan di Port Dickson.
"Beliau dilantik sebagai pengurus kanan kejuruteraan Hengyuan dari 2011 dan ketua pegawai projek pada 2018.
"Beliau kemudiannya memegang peranan sebagai ketua pegawai perhubungan kerajaan pada 2019 dan menyokong syarikat dalam pengantaraan isu perniagaan dan operasi melalui nasihat dan mengenal pasti campur tangan dan strategi yang berkaitan, untuk membantu menyelesaikan situasi kritikal atau pertikaian yang melibatkan kerajaan, peraturan dan perundangan," katanya. - DagangNews.com







