KUALA LUMPUR 31 Jan - Zecon Bhd dan PR1MA Corp Malaysia menamatkan kerjasama untuk membangunkan projek pembangunan bercampur di Kuching, Sarawak.
Berikutan penamatan itu, Zecon akan membeli semula projek tersebut daripada PR1MA dengan harga RM63.56 juta termasuk kos tanah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.
Kumpulan tersebut telah melupuskan tanah seluas 54.16 ekar pada 2014 kepada PR1MA dengan harga RM46 juta sebelum memeterai perjanjian pembangunan bersama pada 2015 dan perjanjian induk (HOA) pada 2016 untuk membangunkan projek itu secara bersama.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk pembayaran balik kerja yang dilakukan terhadap projek itu dan baki pertimbangan jualan yang terhutang oleh PR1MA kepada Zecon berjumlah RM9.93 juta, ditolak daripada harga RM63.56 juta untuk pembelian semula projek itu.
Baki RM53.62 juta akan dipenuhi dengan jumlah permulaan RM2.68 juta, diikuti RM2.83 juta setiap bulan untuk 18 ansuran bulanan.
Deposit Zecon dengan bank berlesen, tunai dan baki bank berjumlah RM33.02 juta setakat 30 September 2022, kurang daripada RM34.35 juta pada akhir 2021.
Setakat pukul 9.37 pagi ini, saham Zecon meningkat 3.9% pada harga 40 sen seunit menjadikan permodalan pasaran sebanyak RM58.96 juta. – DagangNews.com








