KUALA LUMPUR 21 April - YX Precious Metals Bhd. (YXPM) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Bhd. sempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pemborong dan pengeluar barang kemas ini yang merupakan anak syarikat milik penuh Tomei Consolidated Bhd. dijangka disenaraikan pada akhir Jun 2022.
Pengarah Urusan YXPM, Ng Sheau Chyn berkata, pemeteraian perjanjian itu adalah tepat pada masanya memandangkan kumpulan bersedia untuk memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk barang kemas.
Katanya, dengan beralih kepada entiti tersenarai, syarikat berharap dapat mengekalkan trajektori pertumbuhan sehingga ke fasa pengembangan seterusnya.
"Kami bercadang untuk menggunakan hasil yang diperoleh daripada pelaksanaan IPO ini bagi membeli jentera dan peralatan baharu serta menaik taraf kemudahan operasi sedia ada supaya kecekapan operasi dapat ditingkatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Public Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi langkah IPO tersebut.
IPO itu menyaksikan 111.65 juta saham biasa baharu diterbitkan dengan Public Investment Bank bersetuju menaja jamin sebanyak 48.38 juta saham.
Daripada keseluruhan saham diterbitkan itu, sebanyak 18.61 juta diperuntukkan untuk orang awam manakala 11.16 juta bagi pengarah dan pekerja YXPM, Tomei dan anak syarikat yang layak serta mana-mana individu yang menyumbang kepada kejayaan YXPM dan kumpulan.
Sementara itu, 18.61 juta diperuntukkan untuk pemegang saham Tomei yang berhak diikuti 16.75 juta saham bagi pelaksanaan penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 46.52 juta saham kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank, Lee Yo-Hunn yakin langkah IPO itu dapat membantu kumpulan berkembang lebih kukuh pada masa depan.
"Kami juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan YXPM semasa mereka beralih ke fasa seterusnya dalam rancangan pengembangan perniagaan," katanya. - DagangNews.com








