Yinson terbit nota jangka sederhana Islam bernilai RM1 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson terbit nota jangka sederhana Islam bernilai RM1 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Yinson Holdings Bhd akan menerbitkan nota jangka sederhana Islam (IMTN) lima tahun bernilai RM1 bilion pada Selasa, 7 Disember 2021 yang akan membayar kadar keuntungan tahunan sebanyak 5.55% di bawah bon Wakalah Islamik penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas atau skim sukuk.

 

Menurut kemas kini di laman web Bursa Maklumat Bon dan Sukuk (BIX), IMTN Yinson bernilai RM1 bilion yang matang pada 7 Disember 2026, akan membuat pembayaran keuntungan pertama skim itu pada 7 Jun 2022.

 

"Tarikh pembayaran keuntungan terakhir adalah pada 7 Disember 2026," kata BIX.

 

Yinson dalam pemfailan Bursa Malaysia pada 25 Oktober 2021 mengumumkan penubuhan program IMTN sehingga RM1 bilion. 

 

Menurut pemfailan itu, Yinson pada 22 Oktober 2021 telah membuat permohonan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan program Sukuk Wakalah berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar mengikut Garis Panduan SC mengenai Pasaran Modal Tidak Tersenarai Produk di bawah Rangka Kerja Pondok dan Pelancaran. 

 

Hasil yang diperoleh daripada terbitan itu katanya akan digunakan untuk tujuan patuh Syariah termasuk modal kerja Yinson dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada syarikat.

 

HSBC Amanah Malaysia Bhd dilantik sebagai penasihat, pengatur dan pengurus utama bagi program Sukuk Wakalah, kata Yinson. 

 

Jumlah saham terbitan syarikat yang dilaporkan terkini berjumlah sekitar 1.1 bilion, menurut pemfailan Yinson kepada Bursa Malaysia pada Khamis lepas. 

 

Baru-baru ini Yinson turut mengumumkan meraih 2 kontrak bernilai AS$5.2 bilion daripada Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras) yang merangkumi carter, operasi dan penyelenggaraan kapal dengan kemudahan FSPO bagi IPB di Lembangan Campos Utara, luar pesisir Brazil.

 

Surat Hasrat (LOI) diserahkan kepada unit Yinson iaitu Yinson Production Pte Ltd manakala Yinson Bergenia Production B.V, anak syarikat tidak langsung Yinson di Belanda, akan memeterai kontrak carter bagi penyediaan FSPO itu. -DagangNews.com