Yinson raih kontrak FPSO Agogo bernilai AS$5.3 bilion di Angola  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson raih kontrak FPSO Agogo bernilai AS$5.3 bilion di Angola 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Yinson Holdings Bhd. meraih kontrak bernilai AS$5.3 bilion (RM23.6 bilion) bagi menyediakan perkhidmatan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) bagi projek pembangunan Hab Barat Bersepadu Agogo di Angola.

 

Ini menyaksikan Yinson menerusi cabang pengeluaran luar pesisirnya, Yinson Production menandatangani kontrak dengan Eni Angola SpA, anak syarikat milik penuh Azule Energy, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Azule ialah pengeluar minyak dan gas bebas terbesar di Angola, dan usaha sama 50/50 antara BP plc dan Eni SpA.

 

Tempoh kontrak adalah selama 15 tahun bermula daripada tarikh akhir penerimaan dengan pilihan lanjutan lagi lima tahun. 

 

Kontrak FPSO Agogo itu yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2025 merupakan projek pengeluaran yang pertama Yinson Production di Angola dan projek kelapan di Afrika Barat. Ia akan meningkatkan nilai kontrak Yinson Production kepada hampir AS$22.4 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, penganugerahan kontrak itu adalah bukti kedudukan Yinson Production sebagai kontraktor FPSO yang boleh dipercayai dan pengendali tempatan yang bertanggungjawab. 

 

"Hubungan lama kami dengan Eni, salah satu rakan usaha sama di Azule bersama BP, bermula dengan anugerah kontrak untuk FPSO John Agyekum Kufuor pada 2017, yang kami berjaya penuhi tiga bulan lebih awal daripada jadual.

 

"Kami juga mengekalkan rekod prestasi keselamatan dan masa operasi yang sangat baik, seterusnya membuka jalan untuk penglibatan kami dalam projek FPSO Agogo," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Azule Energy, Adriano Mongini berkata, Agogo menandakan permulaan gelombang baharu pelaburan utama dalam pengeluaran minyak air dalam Angola.

 

"Dengan kerjasama yang betul, kami percaya projek ini akan dipenuhi dan dilaksanakan dengan cekap supaya ia membawa nilai aktiviti yang signifikan untuk industri minyak dan gas negara," jelasnya. -DagangNews.com