Yinson Green Technologies melabur dalam syarikat maritim Norway | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson Green Technologies melabur dalam syarikat maritim Norway

KUALA LUMPUR 20 Feb - Yinson Green Technologies Pte. Ltd. (YGT), menerusi anak syarikatnya,  Yinson Venture Capital Pte. Ltd., melabur secara strategik dalam Zeabuz AS, sebuah syarikat permulaan yang berpangkalan di Norway yang mengkhusus dalam penyelesaian autonomi untuk industri maritim.

 

Pelaburan itu menyediakan asas kepada YGT untuk bekerjasama dengan Zeabuz dalam pembangunan penyelesaian autonomi untuk armada kapal elektrik YGT pada masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YGT, Eirik Barclay berkata, menerusi pelaburan ini, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Zeabuz untuk membawa penyelesaian kapal autonomi yang sangat inovatif ke pasaran Singapura.

 

"Kami mengiktiraf potensi besar kapal autonomi dan melihat Zeabuz berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi peneraju dalam segmen ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

YGT merancang untuk menggabungkan penyelesaian tercanggih Zeabuz dalam kapal elektriknya dan menggunakan teknologi ini untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan kapal di samping mengurangkan kawalan yang diperlukan semasa pengangkutan penumpang dan kargo.

 

Zeabuz ditubuhkan pada 2019 sebagai spin-off daripada pusat penyelidikan progresif Universiti Sains dan Teknologi Norway untuk operasi dan sistem marin autonomi.

 

Syarikat itu telah membangunkan platform autonomi proprietari yang boleh skala, diperakui dan sesuai untuk kedua-dua reka bentuk baharu dan pengubahsuaian kapal sedia ada. 

 

Model perniagaannya adalah untuk menyediakan autonomi sebagai perkhidmatan kepada pengendali kapal yang lebih kecil.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Zeabuz, Erik Dyrkoren berkata, teknologi yang dimilikinya membolehkan pelanggannya menawarkan operasi yang lebih selamat dan cekap di samping membolehkan konsep mobiliti baharu seperti mobiliti air bandar dengan krew yang tidak ramai. - DagangNews.com