Yinson dilihat bersedia manfaatkan aset FPSO dengan meluas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson dilihat bersedia manfaatkan aset FPSO dengan meluas

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 April - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Yinson Holdings Bhd. dengan harga sasaran pada RM5.58 sesaham. 

 

Menurut firma itu, kedudukan Yinson kekal kukuh untuk memanfaatkan kitaran menaik bagi pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO). 

 

Katanya, daripada 6 tender projek FPSO yang dibida, kumpulan hanya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 2 kontrak baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan perbelanjaan modal (capex) AS$1.5 bilion. 

 

"Dengan kekurangan kontraktor yang cekap, syarikat O&G (pelanggan) mungkin perlu membuat bayaran pendahuluan yang lebih besar untuk projek-projek berkenaan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Di sebalik halangan yang dihadapi pemain industri (SBM) di China ekoran perintah sekatan pergerakan terkini yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, projeknya (Anna Nery aka Marlim 2) di Qidong (Cosco) tidak terjejas.

 

Ketika ini, projek FPSO Anna Nery di China sudah mencapai 90% siap dan bersedia untuk memenuhi tarikh penghantaran pada pertengahan 2023.
 

Sementara itu, kerja-kerja Parque das Baleias (PDB) Petrobas (Qidong di China) dan projek Enauta yang dibina di Dubai masih di peringkat awal dan tidak terjejas dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 
  

 

Menurut Maybank IB, Yinson turut meneroka pilihan untuk menambah nilai aset FPSO melalui tawaran awam permulaan (IPO) di pasaran bursa luar negara, atau membawa masuk pelabur yang strategik.

 

Terbitan bonus 1-untuk-1 baru-baru ini, terbitan hak untuk mengumpul RM1.1 hingga RM1.2 bilion  disasarkan untuk diselesaikan menjelang Mei atau Jun ini.

 

"Hasil IPO tersebut akan disalurkan untuk capex masa depan. Sehubungan itu, langkah korporat ini beserta bayaran pendahuluan daripada pelanggan berkemungkinan mampu meliputi keperluan pembiayaan ekuiti untuk 2 projek baharu," jelasnya. - DagangNews.com