KUALA LUMPUR 8 Mac - Yinson Production memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan peneraju global dalam perisian industri, Aveva bagi memacu transformasi digital dan kemampanan.
Perjanjian itu dibina berdasarkan hubungan sedia ada syarikat dan bertujuan untuk membolehkan Yinson membangunkan penyelesaian perkhidmatan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang autonomi dan mampan.
Perisian Aveva digabungkan dengan kepakaran FPSO Yinson dan set data yang luas akan membolehkan Yinson mengendalikan FPSO dengan penglibatan manusia yang minimum, dan dengan visi untuk mereka menjadi autonomi sepenuhnya.
Dengan memanfaatkan penyelesaian Aveva, Yinson akan meningkatkan strategi operasinya dan mengoptimumkan kecekapan dengan menggunakan analisis, pembelajaran mesin (ML) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperkayakan kembar digital merentas keseluruhan kitaran hayat aset.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson, Flemming Grønnegaard berkata, penggunaan teknologi digital menjadi penting untuk mempercepatkan pelaksanaan operasi mampan merentas semua industri.
"Dengan kepakaran perisian dan domain terkemuka Aveva serta pengetahuan mendalam Yinson tentang reka bentuk, operasi dan pasaran FPSO, kerjasama ini membolehkan kami mencipta tawaran mampan dan berbeza yang boleh membuka laluan kepada peralihan seluruh industri kepada lebih selamat, mampan serta rendah karbon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Aveva, Emon Zaman pula berkata, pihaknya komited untuk membantu pelanggan dan rakan kongsi membuka kunci manfaat transformasi digital untuk memacu kecekapan dan kemampanan operasi.

Beliau berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Yinson untuk membangunkan penyelesaian FPSO yang autonomi dan mampan.
"Ia akan memberikan keterlihatan yang dipertingkatkan bagi data kejuruteraan dan operasi bersepadu, membuat keputusan kritikal yang lebih baik dan membantu Yinson merealisasikan visinya untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030 dan sifar bersih menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com








