KUALA LUMPUR 1 Julai - Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang giat berusaha untuk meluaskan jangkauan program komuniti mereka, demi memberikan manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia, kini mempunyai peluang pembiayaan tambahan melalui Geran Impak Sosial Yayasan TM (YTM).
Cabang yayasan Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini melancarkan geran itu, dalam usaha untuk memperkembangkan inisiatif-inisiatif kemasyarakatannya, sebahagian daripada perjalanan transformasinya ke arah menjadi yayasan yang lebih berimpak sosial.
Sebagai permulaan untuk fasa pertama ini, YTM menawarkan dana sebanyak RM1.5 juta.
Dana ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Geran Impak Sosial Emas YTM, bernilai antara RM100,000 hingga RM250,000 dan diperuntukkan untuk projek jangka pertengahan (dengan tempoh sehingga satu tahun).
Manakala, Geran Impak Sosial Perak YTM bertujuan untuk projek jangka pendek (dengan tempoh tiga hingga enam bulan) dengan pembiayaan bernilai RM50,000 hingga RM100,000 setiap geran.
Pengarah YTM, Izlyn Ramli berkata, ketika memulakan perjalanan inisiatif impak sosial itu, ia memerlukan usaha kolektif dan kolaboratif untuk membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat.
"Oleh kerana itu, kami di YTM sentiasa mencari peluang baru dengan program yang lebih berkesan, kebanyakannya telah dirancang dan dijalankan organisasi-organisasi hebat di luar sana, membuat perubahan dan memberikan faedah positif kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara, merealisasikan perubahan yang amat diperlukan itu.
"Kami berhasrat untuk mempercepatkan usaha dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui kerjasama dengan NGO, CSO, pengusaha-pengusaha sosial, yayasan-yayasan dan kelab/persatuan komuniti yang berfikiran sama.
"Kepada NGO dan CSO yang baharu atau kecil, izinkan kami membantu anda memulakan atau meluaskan capaian program anda yang membantu menangani pelbagai isu sosial untuk komuniti terpinggir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Izlyn, geran itu menyokong tiga cabang utama YTM, iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti dan Negara, serta Pelancongan, Budaya dan Warisan.
"Kami berharap dengan mengembangkan rangkaian dan jangkauan inisiatif dan organisasi yang berimpak tinggi, kita dapat bersama-sama meningkatkan impak sosial bagi komuniti yang memerlukan di Malaysia dan mungkin juga di luar sana,” katanya.
Permohonan telah dibuka sehingga 31 Ogos 2022. YTM mengalu-alukan semua organisasi yang layak mengambil bahagian, untuk mengetahui lebih lanjut tentang Geran Impak Sosial YTM, lawati https://www.tm.com.my/yayasantm/pages/ytmgrant.html. - DagangNews.com








