KUALA LUMPUR 9 Mei - Yayasan RYTHM (RF) mengumumkan pelancaran projek pemerkasaan komuniti Kerjasama Serba Baru yang bertujuan mengubah kehidupan remaja dan wanita yang terdedah di luar bandar Thailand.
Inisiatif selama tiga tahun itu menggabungkan pendidikan dan sukan untuk memacu perubahan sosial dan akan bermula dengan melatih seramai 60 wanita, termasuk ibu tunggal dan wanita daripada keluarga berpendapatan rendah berusia antara 21-35 tahun sebagai fasilitator program tersebut.
Projek ini turut melengkapkan wanita dengan kemahiran perniagaaan termasuk melatih mereka dalam keusahawanan, celik kewangan, membuat keputusan kepimpinan dan banyak lagi.
Ia akan memberikan pembangunan kemahiran hidup abad ke-21 yang penting yang merangkumi komunikasi berkesan, perhubungan interpersonal, pembinaan sahsiah, empati, pemikiran kritis serta kemahiran berfikir kreatif dan pembangunan tenaga kerja masa hadapan.
Projek ini bertujuan untuk membolehkan campur tangan sosial yang berpotensi memberi manfaat kepada lebih 10,000 wanita dan gadis muda yang kurang bernasib baik di negara tersebut.
Ia juga akan memberi penekanan keseluruhan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat untuk membolehkan mereka melindungi diri mereka daripada penyakit, bencana dan exploitasi.
Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, rangka kerja yang disusun dengan teliti akan dilaksanakan di Wilayah Chonburi di timur Thailand dengan kerjasama rakan kongsi Yayasan RYTHM dan Yayasan ASA, yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pemberdayaan belia melalui campur tangan sosial mampan.

"Adalah penting bagi kami merancang projek tersebut untuk dipacu oleh komuniti kerana ia bukan sahaja memastikan akses yang lebih baik kepada sumber dan peluang, tetapi juga untuk membolehkan masyarakat mengambil pemilikan dan menjadi arkitek reka bentuk supaya mereka dapat meneruskan usaha pembinaan kapasiti serta pemerkasaan selepas garis masa tiga tahun projek ini berakhir.
""Pembukaan bab Thailand adalah langkah strategik di pihak kami untuk membolehkan kami melakukan lebih banyak di rantau ASEAN. Matlamat kami di Yayasan RHYTHM adalah untuk melaksanakan program berpotensi untuk mempengaruhi perubahan sosial yang berpanjangan dan membantu terutama wanita, gadis muda, dan kanak-kanak dalam komuniti yang kurang bernasib baik untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka," katanya.
Beribu pejabat di Hong Kong dengan pejabat operasi serantau di Malaysia, Yayasan RYTHM telah melaksanakan projek-projek impak sosial yang berjaya di seluruh Asia Selatan, Malaysia, Indonesia, dan Afrika Sub-Sahara selama bertahun-tahun.
Kini, yayasan berhasrat untuk memperluas jangkauannya untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar. - DagangNews.com








