Yayasan Keluarga Malaysia peruntuk RM1.27 juta bantu anak yatim piatu akibat COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Keluarga Malaysia peruntuk RM1.27 juta bantu anak yatim piatu akibat COVID-19

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bersama anak-anak yatim membeli baju raya sempena persiapan Hari Raya di sebuah pusat beli-belah di ibu negara baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu akibat pandemik COVID-19. 

 

YKM memaklumkan, peruntukan tersebut disalurkan melalui dua bantuan iaitu Bantuan YKM dan Bantuan Persekolahan. 

 

Katanya, Bantuan YKM melibatkan dua kategori iaitu kategori A dari usia sehari sehingga 15 tahun, menerima sumbangan sebanyak RM2,000, manakala kategori B membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama, menerima sumbangan sebanyak RM2,500.

 

Bantuan YKM akan dikreditkan terus ke akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada 20 Mac ini, Julai dan November, katanya.

 

"Ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, pihak yayasan telah menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap penerima. Ia membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM176,700 dan 589 penerima," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan memastikan anak-anak yatim ini mendapat pendidikan yang sempurna sehingga berusia 18 tahun atau tamat ijazah pertama di institut pengajian tinggi. 

 

"Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada di antara anak-anak ini masih trauma.

 

 

ismailsabri

 

 

ismailsabri

 

 

"Anak-anak ini tidak boleh dilupakan. Mereka masih memerlukan bantuan, bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian. Kami menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama membantu anak-anak ini," katanya.

 

Terdahulu, beliau menyerahkan Bantuan YKM kepada 109 anak-anak yatim COVID-19 pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di ibu negara. Ia merupakan simbolik kepada permulaan penyaluran Bantuan YKM bagi tahun 2024. 

 

 

ismailsabri

 

 

ismailsabri

 

 

Majlis tersebut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

 

Anak-anak tersebut turut dibawa ke pusat beli-belah di ibu negara untuk membeli baju raya sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan. - DagangNews.com