KUALA LUMPUR 10 Feb - WIDE Technologies Malaysia Sdn Bhd melancarkan PrimeCash X yang merupakan aplikasi sistem perbankan bersepadu yang ditambahbaik dengan ciri-ciri baharu.
Ia menampilkan ciri-ciri baharu seperti kadar istimewa, pengurusan harta, urusan tukaran mata wang asing (forex), pasaran (bon), penyesuaian pelanggan dan pengurusan pembayaran cukai.
Produk istimewa syarikat itu bermula daripada PrimeCash yang asal, digunakan secara meluas lebih daripada 20 bank di Indonesia, Malaysia dan rantau ini.
Produk terbabit sudah digunakan tanpa kerumitan oleh Bank Negara Indonesia dan Bank Bumi Arta di Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WIDE Technologies, Pardjo Yap berkata, ia terbukti menyediakan solusi selamat yang membolehkan rakan kongsi menyesuaikannya dengan keperluan mereka.
Katanya barisan produk menyeluruh WIDE memenuhi piawaian tertinggi kawal selia dan keselamatan industri ASEAN dan sedunia.
Pencapaian sedemikian menurutnya, melebihi jangkaan dan piagam pengurusan risiko bagi bank peringkat 1 domestik dan serantau dalam perkhidmatannya.

"Pengurusan projek WIDE yang berdedikasi dan berpengalaman menjamin pelaksanaan pantas penawaran produk bersepadu sepenuhnya dan sangat modular yang boleh dikonfigurasikan kepada keperluan khusus pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam barisan produknya, WIDE Technologies antara lain turut menawarkan Prime Token yang membenarkan transaksi dalam talian, Prime Gateway (solusi integrasi aplikasi syarikat untuk pelanggan) dan PrimeCash COB yang membolehkan pelanggan memulakan proses penyesuaian digital mereka pada peranti mudah alih.
Pardjo berkata, WIDE Technologies sehingga kini terbukti sebagai syarikat yang komited, kukuh, fleksibel, berpengalaman dan dilindungi pelaburan bagi menjalin kerjasama dengan lebih banyak bank.
Katanya, pihaknya berharap untuk berkembang bersama seiring dengan kejayaan pelanggan serta memberikan kesejahteraan kepada semua pihak. - DagangNews.com








