KUALA LUMPUR 4 Jan - Waterco mengembangkan jejak global mereka ke Vietnam dengan penubuhan pusat jualan dan perkhidmatan di Ho Chi Minh yang telah beroperasi sepenuhnya mulai Disember 2022.
Ia menandakan pencapaian Waterco untuk meluaskan akses kepada air bersih bagi penduduk di Asia Tenggara melalui sokongan teknikal lebih maju untuk pelanggan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pelanggan (B2C), pengedar dan peniaga.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco (Far East) Sdn Bhd, Koo Zao Cheong berkata, pusat jualan tersebut berfungsi sebagai cabang menangani permintaan semakin meningkat bagi penyelesaian penapis air dan sanitasi untuk kegunaan industri serta isi rumah.
Beliau berkata, Vietnam ialah pasaran paling menjanjikan bagi teknologi rawatan air dan sanitasi disebabkan potensinya yang kukuh dalam sektor pelancongan, pembuatan serta pembinaan.
"Kedudukannya kukuh dalam industri infrastruktur air dan tenaga kerja akan membolehkan Waterco menyediakan penyelesaian inovatif bukan sahaja kepada pelanggan di Vietnam, malah menyokong pasaran lebih besar di Asia Tenggara.
"Kami yakin dengan kejayaan industri ini merupakan hasil permintaan semakin meningkat untuk bekalan air bersih, rawatan air kumbahan, dan kualiti hidup.
"Dengan akses yang diperluaskan kepada teknologi penapisan air dan sanitasi inovatif dalam pasaran, kami menjangkakan pertumbuhan dua digit dalam hasil jualan untuk 12 bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain produk inovatif dan perkhidmatan pelanggan dipertingkatkan, Waterco berharap dapat mendidik pengguna tentang sistem penapisan air berikutan perkembangan perniagaannya.
Waterco juga melancarkan Waterco Advance, platform e-pembelajaran yang menyediakan maklumat, seminar dan bengkel mini untuk menyampaikan ilmu mengenai kepentingan penggunaan air bersih dan selamat serta pemilihan peralatan bagi membantu pelanggan membuat pembelian.


Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri air, Waterco mempunyai kedudukan kukuh di negara-negara Asia Tenggara termasuk Vietnam, Thailand, dan Indonesia yang mana Vietnam merupakan salah satu pasaran terbesar syarikat tersebut.
Vietnam merupakan hab ekonomi yang pesat berkembang di rantau ini dan menurut ramalan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam dijangka mencecah 6.5% tahun ini.
Industri infrastruktur air di Vietnam dijangka meningkat 7% setiap tahun antara 2017 dan 2026 dengan potensi peluang pelaburan yang besar disebabkan kadar perindustrian yang pesat, pembandaran dan perubahan iklim. - DagangNews.com








