Waspada SMS palsu guna nama MySejahtera berkaitan pemberian bantuan khas kewangan - MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Waspada SMS palsu guna nama MySejahtera berkaitan pemberian bantuan khas kewangan - MCMC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 5 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya jika telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID Penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memberitahu pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch 'n Go (TNG) eWallet mereka. 

 

MCMC mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ di mana pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar ini untuk tujuan penipuan. 

 

"Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID Penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat Pesanan Khidmat Awam (PKA) berkenaan inisiatif-inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

 

"Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai. 

 

"Pihak PDRM turut telah menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan. Tindakan sekatan telah diambil oleh MCMC ke atas akses pautan palsu tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MCMC turut meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan SMS yang disyaki palsu dengan cara menghubungi organisasi terlibat. 

 

"Ini adalah bagi mengelak anda daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan.

 

"Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya. - DagangNews.com