Walaupun menang tuntutan RM231.55 juta, Awantec kemuka rayu keputusan mahkamah dalam kes penamatan projek sistem kawalan imigresen | DagangNews Skip to main content

Walaupun menang tuntutan RM231.55 juta, Awantec kemuka rayu keputusan mahkamah dalam kes penamatan projek sistem kawalan imigresen

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 April - Walaupun menang dalam tuntutan mahkamah terhadap kerajaan sebanyak RM231.55 juta berhubung penamatan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion pada Mac, AwanBiru Technology Bhd (Awantec) kini merayu keputusan tersebut.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Awantec berkata unit milik penuhnya Prestaring Skin Sdn Bhd (PSKIN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menganugerahkan syarikat itu satu pertiga daripada RM733 juta yang dituntutnya.

 

PSKIN pada April 2019 telah menuntut RM733 juta daripada kerajaan untuk penamatan projek SKIN, yang melibatkan perjanjian kontrak selama 15 tahun.

 

Walaupun telah melalui beberapa pusingan rundingan, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai kuantum yang perlu dibayar oleh Putrajaya, menyebabkan PSKIN meneruskan tindakan di mahkamah.

 

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar jumlah penghakiman sebanyak RM231.55 juta, serta kos guaman yang ditanggung oleh PSKIN semasa proses litigasi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi KL arah kerajaan bayar RM231.5 juta kepada Awantec akibat penamatan projek SKIN pada 2019

 

PSKIN memperoleh projek SKIN pada Ogos 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

 

Pada Disember 2018, kerajaan Pakatan Harapan ketika itu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk membatalkan projek tersebut dan memilih sistem baharu yang akan menjimatkan dana kerajaan. 

 

Terbaharu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melancarkan siasatan terhadap projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar RM231.5 juta kepada Awantec.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu merancang untuk memanggil saksi daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta pakar keselamatan siber dan vendor yang terlibat dalam NIISe dan SKIN, katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PAC siasat projek NIISe Jabatan Imigresen, saksi dipanggil selepas Aidilfitri - Mas Ermieyati 

 

Prosiding itu dijangka berlangsung selepas hari raya dan akan dijalankan di bawah Peraturan Tetap Dewan Rakyat 77(1)(d), kata Mas Ermieyati.

 

Kedua-dua projek SKIN dan NIISe bertujuan untuk menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), yang telah digunakan selama lebih 20 tahun. - DagangNews.com