V.S Industry cadang terbit sukuk RM1 bilion biayai modal kerja, perbelanjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

V.S Industry cadang terbit sukuk RM1 bilion biayai modal kerja, perbelanjaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Julai - V.S Industry Bhd. bercadang untuk menerbitkan program nota jangka sederhana Islam sehingga RM1 bilion dalam nilai nominal untuk mengumpul dana bagi keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan dan tujuan am korporat.

 

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bersepadu itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, V.S Capital Management Sdn. Bhd. telah membuat penyerahan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menerbitkan program tersebut berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

 

Menurutnya, program sukuk wakalah itu telah diberikan penarafan awal AAIS oleh MARC Ratings Bhd. 

 

"Kesemua penggunaan hasil yang diperoleh daripada program sukuk wakalah ini adalah patuh syariah," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

MARC dalam satu kenyataan berkata, penarafan yang diberikan terhadap V.S Industry mencerminkan kekuatan kredit kumpulan dan rekod prestasi operasinya yang mantap serta kedudukan pasaran yang kukuh dalam industri EMS serta struktur lembaran imbangan yang sihat, dengan leveraj rendah hingga sederhana dan kedudukan kecairan yang kukuh.

 

Menurut V.S Industry, keperluan modal kerjanya termasuk pembuatan, pemasangan dan penjualan produk elektronik dan elektrik serta komponen dan bahagian acuan plastik.

 

"Sementara itu, keperluan perbelanjaan modalnya termasuk pemerolehan tanah dan bangunan serta pembelian loji dan jentera," tambahnya.

 

Syarikat itu menambah, tujuan umum korporat termasuk pembayaran balik atau pembiayaan semula pinjaman sedia ada, penyediaan pembiayaan antara syarikat Islam, dan perbelanjaan yang berkaitan dengan penubuhan program sukuk wakalah.

 

HSBC Amanah Malaysia Bhd. ialah penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan penasihat syariah untuk program itu. - DagangNews.com