Volvo Trucks lancar trak elektrik pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Volvo Trucks lancar trak elektrik pertama di Malaysia

Gambar paultan.org
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Volvo Trucks Malaysia memperkenalkan trak tugas berat elektrik sepenuhnya di Malaysia, yang pertama dilancarkan di rantau Asia Tenggara. 

 

Selain itu, Volvo Trucks turut mendapatkan pengguna pertamanya, penyedia logistik bersepadu, Swift Haulage Bhd.

 

Pengumuman itu menonjolkan peranan pembuat trak dari Sweden itu dalam mempercepatkan peralihan industri kepada mobiliti elektro, sejajar dengan cita-cita karbon sifar bersih negara.

 

Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Anthony O’Connell berkata, segmen pengangkutan dan logistik adalah bidang kritikal untuk ditangani dalam perlumbaan ke arah karbon sifar bersih. 

 

Katanya, pihaknya teruja untuk memperkenalkan teknologi di sebalik penggerak utama elektrik sepenuhnya yang menyokong kesan iklim yang rendah, meningkatkan keselamatan untuk pengguna jalan raya dan mewujudkan persekitaran kerja lebih baik untuk pemandu. 

 

"Walaupun jalan menuju penyahkarbonan adalah mencabar, kami terus berkongsi kepakaran kami mengenai penggunaan tenaga mampan dan menangani cabaran infrastruktur melalui perkongsian kerajaan dan industri kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka akan menjadi syarikat pengangkutan pertama di Malaysia yang memperoleh dan menggabungkan penggerak utama elektrik. 

 

 

volvo
(Dari kiri) Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Trak Volvo Trucks International, Johan Selvėn, Loo Yong Hui, Anthony O'Connell dan Menteri , Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada majlis pelancaran trak elektrik Volvo pada 11 Julai 2023.

 

 

"Kami percaya teknologi ini akan merevolusikan industri, dan kami teruja untuk memimpin ke arah masa depan yang lebih cerah, lebih cekap dan lebih hijau. Melihat ke hadapan, kami komited untuk menukar sebahagian besar armada kami kepada EV menjelang 2030," katanya. 

 

Pelancaran rasmi tersebut menandakan kemasukan model Volvo FM, FH, dan FMX elektrik sepenuhnya. Penggerak utama elektrik Volvo direka dengan berbilang konfigurasi axel untuk pelbagai aplikasi dan segmen. 

 

Ini dicerminkan konfigurasi bateri berubah-ubah yang tersedia dengan jumlah simpanan tenaga sehingga 540 kilowatt jam (kWj). Trak itu juga mempunyai unjuran jarak perjalanan sejauh300 kilometer. 

 

 

volvo

 

 

Berkenaan dengan pengecasan, pengecas pada papan arus ulang alik (AC) (43 kW) akan memerlukan anggaran sepuluh jam untuk mengecas bateri daripada kosong kepada penuh. 

 

Sementara itu, dengan pengecas arus terus (DC) (maksimum 250 kW), masa pengecasan boleh dikurangkan kepada hanya di bawah dua jam.


 
Berdasarkan ujian bebas, trak elektrik itu berpotensi menggunakan tenaga 50% kurang berbanding enjin berkuasa diesel Volvo FH dalam keadaan pemanduan yang sama, sekali gus menyediakan perniagaan dengan penjimatan bahan api yang lebih baik untuk menempuh jarak yang sama. - DagangNews.com