KUALA LUMPUR 11 April - Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan penambahan penyelenggaraan percuma selama dua tahun lagi untuk model-model terlarisnya.
VPCM dalam kenyataan hari ini berkata, pelanggan yang membeli Arteon R-Line, Tiguan Allspace R-Line atau Elegance kini akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 5 tahun (atau perbatuan sejauh 75,000 kilometer, mana-mana tiba dahulu), di samping jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan untuk 5 tahun.
Katanya, tawaran ini memberikan penjimatan sehingga RM9,600 kepada pelanggan.
VPCM berkata, penampilan Arteon R-Line nyata garang dengan rekaan hadapan dan bentuk sebuah fastback, selain lampu utama LED dan lampu belakang LED yang 'sporty' menyerlahkan lagi karakternya.
"Di bawah hud, terletak sebuah enjin 2.0L turbo yang dipadankan dengan kotak gear DSG direct shift klac basah tujuh kelajuan. Enjin itu boleh menghasilkan kuasa sehingga 280PS dan tork 350Nm.
"Ia menawarkan pecutan mengagumkan dengan kelajuan 100km/j dapat dicapai dalam masa hanya 5.6 saat dari titik pegun.
"Aspek cengkaman dan pengendalian ditambah baik menerusi sistem pacuan semua roda '4MOTION'. Walaupun berkuasa, ia masih dapat menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4l/100km," katanya.

Menurut kenyataan itu, keluarga SUV tujuh tempat duduk Tiguan Allspace sememangnya menawarkan segala ciri yang perlu ada buat sebuah SUV.
Katanya, ia cukup besar dan menawarkan versatiliti menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk, dengan ruang but seluas 1,775 liter apabila kerusi baris ketiga dilipat, terbaik dalam segmennya.
"Tiguan Allspace R-Line merupakan SUV berprestasi Volkswagen yang menawarkan kuasa dan tork paling tinggi dalam kelasnya, terima kasih kepada enjin turbo bersesaran 2.0L. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa mengagumkan 220PS dan tirk 350Nm.

"Keupayaannya ditingkatkan lagi dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION. Satu lagi varian dalam keluarga Tiguan Allspace iaitu Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4L turbo yang mampu menjana 150PS dan 250Nm," katanya.
Tambahnya, ruang dalamannya tidak kurang menarik dengan ciri ketersambungan terbaik seperti 'Digital Cockpit' dan sistem 'Discover Pro' bersaiz 9.2 inci bersama 'App-Connect' tanpa wayar.
Arteon R-Line 4MOTION ditawarkan pada harga RM276,990 sementara Tiguan R-Line 4MOTION berharga RM235,990. Tiguan Allspace Elegance pula boleh dimiliki pada harga RM188,990. - DagangNews.com








