KUALA LUMPUR 29 Mac - Malaysia mengambil langkah nyata ke hadapan untuk menjadi hab yang diiktiraf bagi rumusan risikan siber generasi akan datang menerusi pemeteraian perjanjian perkongsian penting antara Velum Labs Sdn Bhd (syarikat Sapura) dan TriCIS Ltd, baru-baru ini.
Perjanjian perkongsian itu akan menyaksikan Velum Labs dan TriCIS menyediakan keupayaannya kepada pelanggan sektor kerajaan dan swasta di seluruh rantau, di bawah perjanjian dua hala bersama United Kingdom (UK) dan Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, pihaknya menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan TriCIS dalam Velum Labs, menggunakan sepenuhnya set kemahiran dan rekod prestasi mereka dalam keselamatan siber dan ruang risikan siber.
"Memandangkan kami diurus dan dikendalikan oleh bakat tempatan, perkongsian ini jelas mencerminkan keupayaan bertaraf dunia dan pengetahuan teknikal yang wujud dalam tenaga kerja Malaysia kami.
“Dengan bergabung tenaga dengan TriCIS, kami dapat melonjak ke hadapan dari segi inovasi dan penyelesaian luar kotak yang boleh meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi telekomunikasi yang berdaulat sambil memenuhi keperluan negara kita untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TriCIS, Antony Summerfield pula berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Velum Labs kerana pengetahuan teknikal dan kepakaran perisian mereka dalam keselamatan siber dan perisikan siber.
"Kami juga berharap dapat memanfaatkan bakat Malaysia dan hubungan rapatnya dengan negara-negara di seluruh rantau ini untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran yang berkembang pesat dan dinamik ini," katanya.

Menurut Mordor Intelligence, Pasaran Keselamatan Siber Pertahanan Global bernilai AS$16.22 bilion pada 2020, dan dijangka mencecah AS$28.53 bilion menjelang 2026, mencatatkan CAGR kira-kira 10.51% dalam tempoh ramalan (2021-2026).
Laporan itu juga menekankan bahawa Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk pasaran ini. - DagangNews.com








