PETALING JAYA 26 April - Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes COVID-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei 2023.
Zaliha berkata, sebarang garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk pelajar akan dikeluarkan sebelum persekolahan dibuka semula sebagai langkah berjaga-jaga.
"Ini penting. Jika mana-mana pelajar dijangkiti selepas sambutan Aidilfitri dan melakukan perjalanan, ia boleh membawa kepada penularan di sekolah," katanya sambil menambah, Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu.
"Ibu bapa tidak perlu panik apabila melibatkan penyebaran varian baharu ini. Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan.
“Sekiranya mereka mengalami simptom (COVID-19), mereka harus memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial seperti yang diamalkan sebelum ini dan mendapatkan bantuan perubatan,” kata Zaliha.
Dalam pada itu, sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan enam daripadanya dikesan di Lembah Klang dan bakinya dikesan di Sarawak.

Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang terdedah kepada vaksin. Ia dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di negara seperti India, lapor New Straits Times.
Zaliha berkata, mereka yang dijangkiti subvarian Omicron biasanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil. - DagangNews.com








