KUALA LUMPUR 11 Okt - Sempena penganjuran Jelajah Apirasi Keluarga Malaysia 2022 di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mengambil peluang menganjurkan program latihan keusahawanan pelancongan digital bersama warga usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) B40 di sekitar daerah itu.
Program yang dijalankan selama tiga hari itu berjaya mengumpulkan seramai 25 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat termasuk usahawan B40 dalam kalangan komuniti Orang Asli, usahawan bekas pelajar dan tenaga pengajar Giat MARA sekitar Negeri Sembilan.
Sepanjang program itu dijalankan, para peserta didedahkan dengan 14 modul yang berkaitan dengan pelancongan komuniti dan digital oleh para pengajar dari USIM yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Menurut Pengarah Projek, Dr Nurul Nadirah Abu Hasan, program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada golongan usahawan IKS B40 di sekitar Negeri Sembilan khususnya warga Jempol kepada kemahiran pengurusan dan pemasaran produk pelancongan berasaskan komuniti secara digital.
"Selain itu, ia turut bertujuan untuk memberi gambaran peluang dan ruang peniagaan di dalam bidang pelancongan terutama pelancongan berasaskan komuniti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Nadirah berkata, berbanding program-program yang pernah ditawarkan, program itu sedikit berbeza kerana peserta yang terlibat didalam program tersebut akan diberi latihan berterusan walaupun selepas tamat program.
"Ini untuk memastikan peserta yang dilatih mahir dan berkemampuan untuk menjana pendapatan mampan selain turut mampu membantu komuniti setempat selepas ini dengan kemahiran yang diberikan.

"Malah, program ini juga bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap peluang dan ruang kerjaya dalam bidang pelancongan terutama sekali pelancongan komuniti, selain mengubah kesalahfaman praktis dalam kalangan komuniti berkaitan pelancongan komuniti terutama sekali inap desa dan IKS," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Dr Wan Baharudin Wan Mahmood yang diiringi oleh Penolong Naib Canselor Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan Pengarah PLiMJI USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor turut hadir memberikan semangat kepada para peserta.

Mereka turut mengingatkan bahawa program sebegini perlu diteruskan untuk menjalankan fungsi sesebuah universiti yang perlu sentiasa menyumbang kepada masyarakat awam. - DagangNews.com
Dr Afiqah Mior Kamarulbaid dan Dr Muhammad Raqib Mohd Sofian ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia








