KUALA LUMPUR 11 April - Usaha sama Sime Darby Property Bhd. dan LOGOS SE Asia Pte Ltd (SDPLOG) telah memperoleh komitmen awal sebanyak 50% untuk dana pembangunan industri yang pertamanya bernilai AS$250 juta.
Tumpuan akan diberikan kepada pelaburan dan membangunkan aset hartanah industri dan logistik berkualiti tinggi di Bandar Bukit Raja di Klang, Selangor.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, wujud permintaan kukuh untuk pelaburan hartanah berkualiti dalam sektor perindustrian dan logistik.
“Kami mencapai kemajuan yang baik dalam membangunkan aset gred pelaburan di Malaysia dan untuk menyokong peningkatan permintaan bagi produk logistik berkualiti, infrastruktur serta pengurusan rantaian bekalan yang cekap,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.
Komitmen awal itu ditunjangi oleh pelabur institusi terkemuka dan SDPLOG yakin dapat memperoleh komitmen selanjutnya pada tahun 2022, memandangkan minat pelabur yang menggalakkan secara keseluruhan dalam logistik sebagai kelas aset.
Pembangunan pertamanya, Taman Logistik E-Metro sudah bersedia untuk menyediakan penyelesaian logistik dengan kemudahan bertaraf dunia di Bandar Bukit Raja.
Kerja-kerja reka bentuk dan pembangunan untuk 2 kemudahan di E-Metro, aset sulung dana tersebut sedang dijalankan, yang mana pembinaan bermula pada akhir bulan lalu.
Pembangunan mesra alam di kawasan seluas 177 ekar itu akan menyediakan penyelesaian perindustrian dan logistik yang cekap menjangkaui 8 juta kaki persegi di kawasan pajakan kasar dengan kumpulan tenaga pakar dan kemudahan bertaraf dunia dilengkapi dengan ciri kehijauan yang mampan.
Sementara itu, Ketua LOGOS Property Malaysia, David Aboud berkata, lokasi E-Metro sangat menarik kepada pelbagai pengguna dan seperti yang disaksikan di seluruh rantau ini.
“Kami menjangkakan untuk melihat trend untuk spesifikasi tinggi yang akan digabungkan dalam kemudahan logistik moden dalam taman itu.
"Ini termasuk permintaan yang semakin meningkat untuk bilik sejuk beku dengan gudang serta penyelesaian automatik untuk menyokong peningkatan kecanggihan rantaian bekalan," katanya. - DagangNews.com








