Usaha bersepadu diperlukan atasi peningkatan rokok seludup - DARE | DagangNews Skip to main content

Usaha bersepadu diperlukan atasi peningkatan rokok seludup - DARE

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Pembukaan semula sempadan untuk perjalanan dan perdagangan antarabangsa pada 1 April 2022 berkemungkinan menyebabkan peningkatan dalam dagangan dan pemerdagangan haram terutamanya rokok seludup, menurut Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE).

 

Faktor peningkatan itu ekoran permintaan kekal teguh disebabkan tekanan inflasi dan kadar kelaziman merokok yang tinggi dalam kalangan B40.

 

Kajian DARE menunjukkan bahawa penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 telah memainkan peranan dalam menyekat keupayaan sindiket jenayah untuk menyeludup barangan terlarang seperti rokok dan alkohol dari negara asing ke Malaysia. 

 

Selain itu, langkah kerajaan untuk membendung masalah rokok haram yang kritikal melalui beberapa siri inisiatif dalam Bajet 2021, termasuk larangan pemindahan kapal, cukai rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai, zon bebas, semakan serta pembekuan lesen import, telah memperlihatkan hasil memberangsangkan.

 

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, ia adalah gabungan pelbagai faktor secara kolektif yang telah menurunkan paras rokok haram di pasaran buat pertama kalinya dalam tujuh tahun. 

 

"Malangnya, ia mungkin terbantut kerana kami menjangkakan penyeludup rokok haram akan mengambil peluang ketika anggota penguatkuasa melonggarkan kawalan apabila perjalanan antarabangsa disambung semula dan berkuat kuasa sepenuhnya.

 

 

dare
Pankaj Kumar

 

 

“Kerajaan Malaysia tidak boleh berputus asa dengan tekanan ini sebaliknya perlu meningkatkan usaha membanteras perdagangan rokok haram. Untuk mencapai matlamat ini, lebih banyak usaha dilakukan antaranya memperluaskan usaha penambahbaikan dan mengkaji dasar yang boleh menghalang perdagangan haram," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pankaj berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual rokok di bawah harga minimum RM12 setiap pek seperti yang ditetapkan KKM sendiri.

 

“Daripada meletakkan tanggungjawab semata-mata kepada agensi penguatkuasaan lain atau meletakkan kesalahan pada rasuah, KKM boleh mengambil sikap tegas dan mengetuai penguatkuasaan terhadap isu yang menjejaskan kesihatan awam ini.

 

"Hukuman bagi menjual rokok di bawah RM12 adalah denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

Beliau berkata, rancangan KKM untuk mengharamkan penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 2005 adalah konsep yang ideal, namun hakikatnya, idea murni itu sebenarnya tidak akan mencapai matlamatnya jika akses kepada rokok haram menjadi lebih mudah.

 

“Pengharaman generasi terhadap penjualan rokok dan vape juga merupakan ancaman bagi ekonomi Malaysia. DARE membayangkan bahawa ia mungkin tidak hanya berhenti pada rokok dan akan ada pihak yang membuat langkah untuk mengharamkan sektor lain seperti alkohol serta bir, permainan komputer dan juga platform hiburan penstriman dalam talian.

 

“Kecenderungan negara memilih ke arah ‘nanny-state’ akan memberi implikasi teruk kepada keupayaan Malaysia untuk menarik pelabur dan merangsang perbelanjaan domestik. Sebelum kita sampai ke peringkat itu, bahaya yang jelas dan nyata kepada ekonomi negara ialah masalah perdagangan rokok haram kronik yang mana KKM boleh memainkan peranan lebih pro-aktif daripada segi penguatkuasaan," katanya.

 

Katanya, DARE percaya pembasmian perdagangan rokok haram sepenuhnya melalui penyelarasan antara kementerian, meningkatkan penguatkuasaan kawasan pedalaman dan pantai, mengekalkan inisiatif Bajet 2021 serta memanjangkan moratorium eksais dapat mengatasi peningkatan perdagangan haram serta mengurangkan dominasi pasaran rokok seludup. - DagangNews.com