Urus niaga korporat dijangka dorong minat pelabur dalam saham-saham hartanah, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Urus niaga korporat dijangka dorong minat pelabur dalam saham-saham hartanah, kata Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - Maybank Investment Bank menjangkakan lonjakan urus niaga korporat dalam tempoh dua tahun akan datang bakal mendorong minat pelabur dalam saham-saham hartanah.

 

Dengan mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah Malaysia, firma penyelidikan itu berkata urus niaga korporat itu termasuk penyenaraian perniagaan penjagaan kesihatan Sunway Bhd pada 2026; pelaksanaan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) melibatkan hartanah pelaburan IOI Properties Group Bhd dan hartanah pelaburan SP Setia Bhd, serta penjualan tanah.

 

“Syarikat-syarikat semakin mencari peluang untuk mengoptimumkan portfolio mereka, meneroka sinergi menerusi kerjasama strategik, di samping mengurangkan hutang dan mengitar semula modal dengan cekap,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi tempoh terdekat pula, Maybank IB berkata Iskandar Malaysia (lokasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura [JSSEZ]) dan Pulau Pinang (projek transit aliran ringan [LRT]) akan kekal dalam radar pelabur, manakala segmen hartanah industri akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti perindustrian/pelaburan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia terus memilih pemaju dengan kepelbagaian rangkaian produk dan lokasi bank tanah, serta masih berdagang pada penilaian yang murah.

 

Meskipun sasaran jualan hartanah kebanyakan syarikat-syarikat pemaju rendah bagi FY24, firma itu melihat potensi semak naik pada masa akan datang apabila rancangan pelancaran dan jualan tanah dimuktamadkan, serta rancangan pembangunan disemak semula.

 

Oleh itu, saranan ‘beli’ firma berkenaan merangkumi SP Setia (harga sasaran [TP]: RM1.28), Eco World Development Group Berhad (TP: RM1.40) dan Sunway (TP: RM3.03).

 

“Kami menyukai SP Setia kerana penilaiannya murah (nisbah harga kepada buku (PBV) pada 0.3 kali berbanding purata industri sebanyak 0.6 kali) dan ia aktif mengurangkan hutang.

 

“EcoWorld Development pula disokong oleh kedudukannya sebagai peneraju industri, pengurusan praktikal dan kreatif, serta hasil dividen yang menarik sebanyak 4.7% (kami percaya pelabur tidak boleh mengabaikan peneraju sektor ini ketika mencari pendedahan dalam sektor hartanah),” katanya.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata Sunway disukai memandangkan ia akan menyenaraikan perniagaan penjagaan kesihatannya antara separuh kedua 2025 dan 2026. 

 

Setakat akhir 2023, Sunway mempunyai tiga hospital (di Subang, KL dan Pulau Pinang) dengan 1,148 katil, yang mana ia menyasarkan untuk menggandakan jumlah katil menjelang 2026. - DagangNews.com