KUALA LUMPUR 6 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima bayaran dividen terkumpul sebanyak RM11.7 juta menerusi anak syarikatnya, UPM Holdings Sdn Bhd (UPMH), sejak ditubuhkan pada Mei 2004.
Untuk bayaran dividen pada 2022, universiti tersebut menerima bayaran dividen berjumlah RM235,000 daripada UPMH.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, anak syarikat UPM itu mampu bersaing sebagai jentera untuk menambah sumber kewangan kepada universiti.
Katanya, ia merupakan satu kemajuan pada 2022 setelah bergelut selama beberapa tahun, kini inisiatif perniagaan yang dilaksanakan mula memberikan pendapatan dan memberi keuntungan.
"UPM akan menyokong segala bentuk pengurusan yang cekap dan berkesan daripada kumpulan pengurusan kanan UPM Holdings, ini boleh menambah sumber kewangan untuk universiti," katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Azrul Reza Aziz menzahirkan penghargaan kepada pengurusan UPM kerana terus menyokong pengurusan UPMH dan berharap prestasi syarikat akan terus meningkat sekali gus membanggakan universiti tersebut.
Jelasnya, UPMH pada masa akan datang memfokuskan usaha amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG), penanaman semula hutan, pengkreditan karbon dan pembekalan anak pokok hutan yang mana UPM mempunyai pakar terbaik di dalam negara.

"Inisiatif ini dapat menambah pendapatan sebanyak RM15 juta sehingga RM20 juta dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki UPM dalam bidang perhutanan.
"Bukan itu sahaja, usaha untuk meneroka perniagaan klinik veterinar di UPM juga akan memberikan keuntungan pada masa hadapan," katanya.
Terdahulu, UPMH ditubuhkan bagi membantu menjana pendapatan UPM dengan memberi peluang kepada agensi kerajaan atau swasta bekerjasama dengan UPM melalui perkongsian bersama.
Anak syarikat UPM itu bertindak sebagai badan penghubung dan penyelaras antara pihak luar dengan UPM bagi menggerakkan dan mewujudkan aktiviti perundingan dan perniagaan. - DagangNews.com








