KUALA LUMPUR 13 Mei - UOB Malaysia hari ini mengumumkan pengembangan program pembelajaran dan pembangunannya, Better U dalam usaha membolehkan kakitangannya menguasai kemahiran dalam analisis data dan pengurusan projek, dua bidang yang penting untuk kebolehpasaran masa hadapan.
Dilancarkan pada Mac 2021, Better U merupakan salah satu program latihan utama Kumpulan UOB yang memenangi anugerah dan disediakan bersama dengan program latihan dan pelatihan bank yang lain untuk kakitangannya.
Menurut penyelidikan Forum Ekonomi Dunia, 91% daripada industri perkhidmatan kewangan kemungkinannya akan menggunakan teknologi seperti analisis data besar menjelang 2025, membawa kepada permintaan yang semakin meningkat untuk peranan pekerjaan seperti penganalisis data dan saintis data.
Selain itu, kemahiran pengurusan projek akan terus diperlukan dalam pekerjaan masa hadapan. Memandangkan betapa pentingnya kedua-dua set kemahiran ini, kakitangan UOB Malaysia kini boleh mengkhususkan diri dalam bidang ini dan terus mendahului perkembangan industri.
Untuk peringkat seterusnya, Better U dibuka kepada semua kakitangan UOB Malaysia yang telah melengkapkan modul asas yang diwajibkan. Modul asas ini membangunkan kecekapan dalam lima bidang teras, set minda pertumbuhan, penyelesaian masalah, kesedaran digital, reka bentuk berpusatkan manusia dan penceritaan data.
Hampir 70% kakitangan UOB Malaysia telah melengkapkan modul asas dan bank menjangka jumlah ini akan meningkat sebanyak 22% menjelang 2022.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Sumber Manusia UOB Malaysia, Lai Tak Ming berkata, pengembangan program Better U mengesahkan komitmen jangka panjang bank untuk melabur dalam tenaga insannya dan pembangunan mereka.

“Di UOB Malaysia, kami percaya ia penting untuk kakitangan kami belajar dan membangun secara berterusan bagi pertumbuhan peribadi dan profesional mereka. Teknologi baharu akan terus membentuk pilihan dan tingkah laku pengguna, serta mempengaruhi industri kewangan.
"Oleh itu, adalah penting kakitangan kami diperkasakan dan dilengkapi dengan set kemahiran yang sesuai untuk memenuhi keperluan industri hari ini dan pada masa hadapan. Dua bidang pengajian baharu program Better U, iaitu pengurusan projek dan analisis data, adalah kemahiran penting yang boleh digunakan dalam semua fungsi bank.
"Kakitangan kami yang menjalani program latihan akan mempelajari kemahiran baharu yang boleh membantu mereka untuk terus berada di hadapan selain menyediakan mereka untuk pekerjaan masa hadapan," katanya.
UOB Malaysia telah menyediakan peringkat kedua Better U untuk membolehkan kakitangan yang telah melengkapkan peringkat asas program tersebut mendalami bidang yang mereka pilih.
Walaupun bank bermula dengan dua bidang pengajian tahun ini, analisis data dan pengurusan projek, ia merancang untuk mengembangkan bidang pengajian khusus dalam bidang lain seperti kecerdasan buatan dan kemampanan menjelang 2023. - DagangNews.com








