KUALA LUMPUR 25 Julai - UOB Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menyediakan kemudahan pembiayaan perdagangan hijau di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Perdagangan Hijau dan Mampan UOB kepada IOI Corporation Berhad (IOI).
Kemudahan ini akan membantu syarikat mempromosikan minyak sawit mampan sambil mengukuhkan rantaian bekalan minyak sawit mampan global.
Amalan IOI yang bertanggungjawab dan mampan, termasuk amalan pertanian yang baik, pengeluaran minyak sawit mampan dan penyumberan bertanggungjawab minyak sawit mampan, menyerlahkan tanggungjawab korporat dan komitmen teguh kumpulan. Ini juga merupakan prasyarat asas kepada penilaian UOB Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, sebagai institusi kewangan, UOB memahami peranan kritikal yang dimainkan dalam menyokong syarikat mencapai sasaran dan aspirasi berkaitan kemampanan mereka.
Beliau berkata, pihaknya telah berkongsi kepakaran tentang bagaimana mereka boleh menggunakan produk dan penyelesaian kewangan mampan kami untuk merangsang usaha kemampanan mereka.
"Pendekatan kolaboratif ini membantu mendorong pembiayaan hijau yang lebih besar di pasaran selain menggalakkan lebih banyak perniagaan berkembang secara bertanggungjawab.
"IOI telah mengambil langkah penting untuk mengurangkan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya seperti amalan agronomik keseluruhan yang baik sambil membina lebih banyak rantaian bekalan yang berdaya tahan.
"Di samping itu, kami berharap bahawa kemudahan pembiayaan perdagangan hijau ini juga akan menyokong aliran perdagangan global minyak sawit, yang merupakan eksport utama bagi Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif IOI, Datuk Lee Yeow Chor berkata, IOI menyasar untuk menerajui pengeluaran minyak sawit yang mampan dan mendahului usaha penyumberan minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.
"Kemudahan pembiayaan perdagangan hijau UOB menyokong matlamat kami untuk mempromosikan minyak sawit yang mampan selain mengembangkan jejak hijau kami ke arah pelepasan sifar bersih.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pembekal dan rakan kongsi perniagaan yang bertanggungjawab dalam pelbagai bahagian perniagaan kami untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan minyak sawit mampan global," katanya. - DagangNews.com








