UOB, Liberty Insurance jalin kerjasama tawar insurans perniagaan untuk PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB, Liberty Insurance jalin kerjasama tawar insurans perniagaan untuk PKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 April - UOB Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Liberty Insurance untuk menawarkan perolehan insurans automatik pertama di Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Pemilik PKS kini boleh mengakses laman mikro UOB BizCare untuk membeli perlindungan insurans yang komprehensif untuk perniagaan mereka.

 

Banjir baru-baru ini telah menjejaskan banyak PKS, dengan anggaran kerugian bernilai RM600 juta dialami premis perniagaan di seluruh negara.

 

Pada masa sama, lebih 90% usahawan tempatan tidak mempunyai insurans (terhadap risiko termasuk bencana alam) dan tidak mempunyai jaring keselamatan kewangan sekiranya perniagaan mereka gagal.

 

Disebabkan itu UOB Malaysia dan Liberty Insurance telah membangunkan laman mikro yang khusus untuk membolehkan PKS mendapat akses kepada perlindungan insurans komprehensif yang akan melindungi perniagaan dan harta benda mereka daripada kerugian lanjutan yang disebabkan oleh risiko tidak dijangka dan bencana alam. 

 

Selain banjir, perlindungan ini juga termasuk kejadian lain seperti kebakaran, kecurian dan pecah masuk, liabiliti awam dan tindakan keganasan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Perniagaan UOB Malaysia, Raymond Chui berkata, mempunyai cara mudah bagi PKS memperoleh insurans dalam talian adalah penting kerana PKS membentuk sebahagian besar daripada jumlah perniagaan yang didaftarkan di Malaysia dan kebanyakan mereka tidak mempunyai perlindungan yang secukupnya.

 

“Bencana alam seperti banjir kilat yang melanda Malaysia baru-baru ini telah menjejaskan ramai orang termasuk pemilik dan usahawan PKS. Kejadian banjir sebegini kemungkinannya akan berulang pada musim monsun akan datang. 

 

 

uob
Raymond Chui

 

 

"Ini merupakan kebimbangan amat besar kerana kebanyakan perniagaan Malaysia masih kurang diinsuranskan terhadap risiko ini. Dengan memperkenalkan perolehan insurans yang lancar dan mudah, kami harap PKS akan digalakkan mendapat perlindungan penting ini untuk perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pembangunan perolehan insurans automatik di laman mikro UOB BizCare juga sejajar dengan usaha berterusan UOB Malaysia untuk membantu pelanggan PKS mencapai kecekapan yang lebih tinggi melalui pendigitalan. 

 

 

uob

 

 

Melalui laman mikro ini, pelanggan PKS boleh memilih salah satu daripada tiga pelan perlindungan Liberty Insurance. 

 

Laman mikro ini akan menjana sebut harga insurans digital untuk semakan sebelum mereka meneruskan pembelian. Sebaik sahaja pembayaran dalam talian dilakukan, polisi insurans digital akan dihantar melalui e-mel kepada pelanggan dalam masa beberapa minit.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Insurance, Puneet Pasricha, pula berkata, laman mikro UOB BizCare adalah salah satu cara Liberty Insurance dapat melonjakkan usaha transformasi digital dan meningkatkan standard perkhidmatan kepada pelanggan tempatan melalui teknologi.

 

"Laman mikro ini membolehkan pemilik PKS mempunyai kawalan apabila membeli polisi insurans dan menyesuaikan perlindungan mereka dengan mudah dan bebas. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia dalam membangunkan laman mikro ini dan dalam memastikan pengalaman pembelian dan pembayaran pelanggan PKS adalah lancar dan tidak menyusahkan," katanya.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej Insurans Liberty yang ditawarkan di laman mikro UOB BizCare, sila layari https://www.uob.com.my/business/insure/bizcare.page. - DagangNews.com