UOB Kay Hian mulakan liputan terhadap Oppstar dengan saranan 'beli', TP RM2.28 | DagangNews Skip to main content

UOB Kay Hian mulakan liputan terhadap Oppstar dengan saranan 'beli', TP RM2.28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - UOB Kay Hian Securities memulakan liputan terhadap Oppstar Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.28 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat selepas melihat peluang pertumbuhan yang sangat besar yang boleh meningkatkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun  (CAGR) hasil/keuntungan bersih teras tiga tahun sebanyak 33%/35% daripada FY22.

 

Katanya, ia dibuat berdasarkan tenaga kerja yang agresif dan pengembangan geografi, R&D dan pengetahuan teknologi yang canggih di samping potensi besar yang belum diterokai ditambah oleh neutraliti geopolitik Malaysia.

 

"Dengan pengalaman tiga dekad pengurusan utama dalam perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC), Oppstar menyampaikan projek reka bentuk dalam pelbagai jenis IC (iaitu ASIC, SoC, CPU dan FPGA) menggunakan nod lanjutan 14nm hingga 5nm, dan juga telah mendapatkan projek pada tahun 2022 menggunakan teknologi nod proses 3nm.

 

"Kumpulan itu telah menerima pelbagai pertanyaan daripada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan dari wilayah berbeza untuk kedua-dua perkhidmatan reka bentuk khusus dan perkhidmatan reka bentuk siap guna

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk menggandakan lebih daripada dua kali ganda jumlah kakitangan semasanya iaitu 227 kepada 500 menjelang 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Semasa pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan itu dijangka meraih RM104.25 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 165.48 juta saham biasa pada harga 63 sen sesaham. 

 

Menurut prospektus IPO, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 15 Mac ini, syarikat itu memperuntukkan 47.96% dana yang diraih daripada IPO untuk meningkatkan tenaga kerja dan 23.98% untuk mewujudkan pejabat baharu.

 

Sejumlah 11.51% lagi akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan bersama dengan 12.14% disalurkan untuk modal kerja, manakala bakinya untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com