Untung selepas cukai F&N meningkat 8.6% pada 2QFY23 didorong pertumbuhan jualan di Malaysia, pemulihan margin Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung selepas cukai F&N meningkat 8.6% pada 2QFY23 didorong pertumbuhan jualan di Malaysia, pemulihan margin Thailand

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Fraser & Neave Holdings Berhad telah mencatatkan peningkatan 8.6% dalam keuntungan selepas cukai (PAT) pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) kepada RM102 juta berbanding RM93.9 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Manakala pendapatan kumpulan pada suku tersebut turut meningkat 8.9% kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Peningkatan tersebut telah didorong oleh peningkatan jualan di Malaysia dan pemulihan margin di Thailand.

 

Menurut kumpulan tersebut operasi makanan dan minuman (F&B) Malaysia telah mencatat lonjakan pendapatan sebanyak 15%  kepada RM707.6 juta pada 2QFY23 didorong oleh momentum positif jualan musim perayaan dan sumbangan Cocoaland Holdings Berhad.

 

Manakala F&B Thailand telah mencapai pemulihan margin yang kukuh hasil pengurusan harga dan margin lebih baik, di mana keuntungan operasi melonjak 26.3% kepada RM78.1 juta.

 

“Pendapatan kumpulan meningkat walaupun kos faedah yang lebih tinggi disebabkan pengambilalihan strategik baru-baru ini, membuktikan keupayaan menguruskan komitmen kewangan tambahan,” kata kumpulan tersebut.

 

F&N juga mengumumkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 27 sen sesaham berjumlah RM99 juta yang akan dibayar pada 1 Jun 2023.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata pengambilalihan Cocoaland untuk berkembang dalam segmen makanan berbungkus halal telah menyumbang secara positif kepada kumpulan dan mereka dapat melihat masa depan yang cerah daripadanya.

 

 

FNHB CEO_Mr Lim Yew Hoe
 Lim Yew Hoe

 

 

Di samping itu, kata beliau, kumpulan kekal komited untuk menyiapkan Fasa 1 projek ladang tenusu bersepadu, Ladang Permai Dama, menjelang Disember 2024.

 

“Ini akan membolehkan kumpulan untuk tidak terlalu bergantung pada susu import serta menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan serta menyumbang kepada keterjaminan makanan di Malaysia,” tambahnya.

 

Menurut Lim, kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati dalam memasuki separuh kedua tahun kewangan ketika pasaran terus mengalami pemulihan.

 

Walaupun harga beberapa komoditi mula stabil, harga tin timah, susu, minyak sawit dan gula dijangka kekal tinggi pada tahun 2023, kumpulan itu berkata ia akan terus menelusuri ketidaktentuan ekonomi dengan unjuran dan perlindungan nilai yang lebih baik. -DagangNews.com