KUALA LUMPUR 18 Mei - Untung bersih Time dotCom Berhad melonjak sebanyak 25.2% kepada RM114.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM91.3 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan disatukan bagi berkenaan adalah sebanyak RM417.2 juta, meningkat 12.9% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Segmen pelanggan Runcit dan Borong terus memimpin sumbangan kepada pertumbuhan hasil sementara permintaan pasaran untuk data dan penawaran pusat data daripada kumpulan kekal.
Peningkatan keuntungan itu disumbangkan hasil keseluruhan yang lebih tinggi, bahagian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan sebahagiannya diimbangi oleh susut nilai yang lebih tinggi ke atas hartanah, loji dan peralatan serta kos kakitangan yang lebih tinggi.
Ketua Komander Time, Afzal Abdul Rahim berkata, kumpulan berpuas hati dengan prestasinya untuk 1QFY23 dan keputusan strategik yang telah dilakukan terus menghasilkan pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham berdasarkan keuntungan yang sihat dan asas yang kukuh.
"Kami juga gembira dapat menutup perkongsian dengan DigitalBridge untuk perniagaan pusat data AIMS kami, dan menantikan bab seterusnya mengenai perkara itu,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa MAlaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek kumpulan, mereka menjangkakan bahawa permintaan untuk produk dan perkhidmatan merentas segmen pelanggan terasnya akan berterusan.
Bagi memenuhi permintaan itu katanya, kumpulan akan terus mengembangkan liputan rangkaiannya dan memastikan kebolehpercayaan dan ketersediaan rangkaiannya yang tinggi.
"Ini juga akan menyokong Pelan Infrastruktur Digital Kebangsaan (Jendela) dan aspirasi kerajaan untuk membina ekonomi digital yang kukuh di Malaysia.
"Pada masa yang sama, kumpulan kekal fokus untuk meningkatkan kecemerlangan operasi dan menambah baik pengalaman pelanggan melalui inovasi," katanya. - DagangNews.com








