KUALA LUMPUR 27 Feb - Untung bersih FGV Holdings Bhd. susut 27.4% kepada RM337.71 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 daripada RM465.09 juta yang direkodkan untuk tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku berkenaan juga susut 1.15% kepada RM6.1 bilion daripada RM6.17 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Penurunan itu disebabkan terutamanya hasil yang lebih rendah daripada segmen perladangan, logistik dan lain-main manakala kerugian segmen gula semakin melebar pada suku semasa.
Keuntungan bagi segmen perladangan menurun 25% kepada RM527.59 juta daripada RM699.27 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan caj nilai saksama ke atas perjanjian pajakan tanah (LLA) sebanyak RM84.53 juta pada suku semasa dalam tinjauan, berbanding keuntungan nilai saksama RM66.46 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pengeluaran minyak sawit mentah pada suku tersebut meningkat 14% kepada 832,000 tan metrik dipacu pengeluaran buah tandan segar kepada 1.13 juta tan metrik daripada 1.05 juta tan metrik, menyaksikan hasil meningkat kepada 4.13 tan metrik per hektar.
Segmen logistik pula merekodlan keuntungan sebanyak RM33 juta pada suku berkenaan dipacu volum minyak premium yang lebih tinggi dan peningkatan daya pengeluaran volum pukal, yang meningkat sebanyak 3% manakala volum pengangkutan meningkat sebanyak 15% seiring dengan pengeluaran minyak sawir mentah lebih tinggi.
Sementara itu, segmen gula mencatatkan kerugian sebanyak RM46 juta disebabkan kos input gula mentah dan gas asli yang tinggi serta kelemahan ringgit.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersihnya meningkat kepada RM1.32 bilion daripada RM1.17 bilion manakala pendapatan meningkat kepada RM25.56 bilion berbanding RM19.57 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan mengumumkan bayaran dividen akhir sebanyak 11 sen sesaham, membabitkan bayaran sebanyak RM401.3 juta. Secara keseluruhan, FGV mengisytiharkan jumlah bayaran dividen bagi FY22 sebanyak 15 sen sesaham.
Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, keputusan FY22 menyaksikan kumpulan merekodkan keuntungan operasi tertinggi sejak disenaraikan pada 2012.
Ia mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM2.33 bilion pada FY22, mewakili peningkatan 27% berbanding FY21 disumbangkan terutama kenaikan margin produk minyak sawit berikutan harga purata direalisasikan 32% lebih tinggi, beserta daya pengeluaran dan tan yang lebih tinggi daripada segmen logistik.
"Ini menunjukkan komitmen berterusan kami terhadap pertumbuhan dan kejayaan kewangan yang mampan. Dengan adanya inisiatif transformasi kami, FGV akan terus menerobos sempadan dan mencapai pencapaian baharu kerana kami komited untuk menyampaikan nilai luar biasa dan memacu pertumbuhan untuk semua pemegang kepentingan," katanya.
Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, segmen perladangan akan terus menambah baik operasinya melalui mekanisasi, program penanaman semula dan melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos untuk menguruskan peningkatan kos operasi dan harga tenaga.
Menurutnya, masalah kekurangan tenaga buruh semakin berkurangan kepada 13% pada 2022 berbanding 32% pada tahun sebelumnya setelah kumpulan menambah baik strategi pengambilan pekerja sepanjang tahun lalu. - DagangNews.com








