KUALA LUMPUR 10 Jun - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd. mencatat untung bersih sebanyak RM10.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2022, meningkat sedikit berbanding RM10.26 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 38.2% kepada RM207.43 juta daripada RM150.12 juta disumbangkan terutamanya permintaan yang lebih tinggi bagi jualan domestik dan eksport, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 April 2022, untung bersihnya susut 17% kepada RM31.8 juta daripada RM38.14 juta, di sebalik peningkatan pendapatan kepada RM582.21 juta daripada RM468.14 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Menurut Scientex, kumpulan akan terus berinovasi dan membangunkan produk pembungkusan fleksibel yang mampan (FPP) selaras dengan keperluan pelanggan dan trend pasaran melalui kerjasama dengan pemilik jenama dan integrasi sumber serta proses dalam kumpulan.
Dari segi operasi, katanya, cabaran rantaian bekalan global yang berterusan dan ketidaktentuan geopolitik telah menyebabkan ketidaktentuan dalam bekalan bahan mentah, kelewatan kapal dan kekurangan kontena penghantaran hingga mengakibatkan kos dan tempoh pengeluaran dan penghantaran kepada pelanggan meningkat.
"Dalam hal ini, kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan dan pembekal kami bagi menguruskan isu operasi dan memenuhi komitmen ditetapkan.
"Bagi menguruskan situasi COVID-19 pula, kumpulan akan terus berhati-hati dan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan pihak berkepentingan semasa Malaysia beralih ke fasa endemik," katanya.
Tambahnya lagi, keadaan sosioekonomi di Myanmar yang masih tidak menentu berikutan beberapa faktor seperti krisis politik yang berterusan, bekalan elektrik kerap terputus, perubahan besar kepada keperluan lesen import menyebabkan kelewatan penghantaran dan perubahan dalam dasar tukaran asing.
Walaupun permintaan untuk FPP kekal menggalakkan, tetapi, katanya, kumpulan akan terus menghadapi cabaran operasi yang berkemungkinan memberi kesan kepada kecekapan dan prestasi kewangan dalam tempoh terdekat.
"Oleh itu, kumpulan sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap operasi Myanmar dengan rakan usaha sama untuk mempertimbangkan langkah selanjutnya berkaitan operasi Myanmar.
"Secara keseluruhan, kumpulan optimis dan berhati-hati terhadap prospek tahun kewangan semasa," jelasnya. - DagangNews.com








