Untung bersih RM417.7 juta Aeon Credit Service pada FY23 dalam jangkaan, Kenanga Research kekal saranan ‘outperform’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih RM417.7 juta Aeon Credit Service pada FY23 dalam jangkaan, Kenanga Research kekal saranan ‘outperform’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Keuntungan bersih RM417.7 juta Aeon Credit Service (M) Berhad dalam tahun kewangan 2023 (FY23) adalah 95% dalam jangkaan firma dan 102% anggaran konsensus, kata Kenanga Research

 

Bagaimapun, dividen setahun penuh sebanyak 49.5 sen adalah di bawah jangkaan 62sen firma penyelidikan tersebut disebabkan pembayaran yang lebih konservatif.

 

“Bagi FY23, semua sasaran kebanyakannya telah dicapai dengan pulangan ke atas ekuiti (ROE) melebihi 15% dan pertumbuhan pembiayaan pada 10%,” kata firma itu dalam nota hari ni.

 

Susulan laporan kewangan kumpulan itu semalam, firma itu tidak mengubah sebahagian besar unjuran tahun kewangan 2024 (FY24), sementara menunggu kemas kini lanjut kumpulan itu, terutamanya mengenai panduan FY24.

 

Sementara itu, Kenanga memperkenalkan angka FY25 bagi mencerminkan pertumbuhan 2.6% dalam pendapatan bersih syarikat disebabkan jangkaannya terhadap margin faedah yang semakin berkurangan untuk mengimbangi pertumbuhan dalam buku pembiayaan kumpulan.

 

Firma itu terus menjangkakan sentimen untuk saham kumpulan itu bertambah baik dengan kemas kini berikutnya disebabkan ia adalah proksi kepada keluaran pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh manakala lesen perbankan digital Islamnya melanjutkan cadangan nilai baharu kepada pelanggan.

 

Mengulas berkenaan prospek, firma itu berkata kriteria kredit kumpulan akan diperketatkan terutamanya untuk segmen motornya yang majoriti terdiri daripada pelanggan B40 bagi menangani kemungkinan tekanan pada kualiti aset akibat inflasi.

 

Pemuliham aktiviti ekonomi, sementara itu, boleh merangsang lebih banyak keperluan pembiayaan peribadi, katanya.

 

“Sebaliknya, untuk memastikan perbelanjaan terurus, Aeon Credit Service telah memulakan pendigitalan operasi bahagian belakangnya dengan platform ‘on-boarding’ digital yang membolehkan kelulusan bersyarat segera sebagai salah satu inisiatif utama baru-baru ini, turut boleh dilaksanakan ke dalam segmen pembiayaan peribadi utama kumpulan juga,” katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM16.95 sesaham.

 

Setakat pukul 11:38 pagi hari ini, saham Aeon Credit Service menokok 40sen atau 3.4% kepada RM12.32 sesaham, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM3.15 bilion. -DagangNews.com