KUALA LUMPUR 20 Feb - Untung bersih Reservoir Link Energy Bhd melonjak 285.6% kepada RM3.36 juta pada suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM871,000 bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan tersebut pada suku keempat menyusut 4% kepada RM32.43 juta daripada RM33.84 juta.
Menurut kenyataan di dalam laporan kewangan kumpulan itu di Bursa Malaysia, pendapatan segmen minyak dan gas yang lemah menyebabkan penyusutan pendapatan namun diimbangi oleh peningkatan pendapatan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak RM900,000.
Sementara itu, kumpulan tersebut mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.64 juta pada tahun kewangan 2022 daripada keuntungan bersih sebanyak RM10.76 juta pada 2021.
Pendapatan tahun kewangan 2022 juga menyusut 13.3% kepada RM97.5 juta daripada RM112.44 juta pada tahun sebelumnya.
Hal ini kerana pendapatan dari segmen minyak dan gas berkurang sebanyak RM53.6 juta disebabkan projek Mauritania yang siap pada Oktober 2021 yang meningkatkan pendapatan kumpulan itu dalam segmen tenaga boleh diperbaharui sebanyak RM38.6 juta.
Kumpulan itu juga menukar tahun kewangan kepada 30 Jun daripada 31 Disember yang menelan perbelanjaan yuran profesional sebanyak RM500,000 untuk pemindahan penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai dalam kenyataan berasingan berpuas hati dengan keputusan strategik kumpulan itu untuk menjadi penyedia perkhidmatan tenaga.
“Keputusan itu telah membantu kami mengekalkan kepelbagaian dalam perkhidmatan yang ditawarkan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap satu segmen perniagaan,” tambahnya.
Menurut Chiet Chai, sinergi segmen minyak dan gas serta RE yang berkembang sejak beberapa tahun ini memainkan peranan penting dalam menyediakan pertumbuhan kewangan syarikat yang stabil.
“Kami merancang untuk membina strategi perniagaan kami untuk mendapatkan lebih banyak peluang berdaya maju untuk mempelbagaikan lagi portfolio tenaga kami.
"Ini akan menghasilkan prospek jangka panjang berikutan penggunaan RE yang dijangka semakin meningkat pada tahun mendatang,” katanya. -DagangNews.com








